TAWAU, 26 FEB – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berharap keutamaan suntikan vaksin turut diberikan kepada semua pihak terbabit dalam sektor pelancongan di negeri ini.
Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata Sabah merupakan antara negeri yang menerima kehadiran pelancong antarabangsa yang ramai, namun sejak pandemik COVID-19, semua pemain sektor industri ini terpaksa menghentikan operasi mereka.
“Mereka ini juga penting dalam sektor berkenaan dan kami sangat mengalu-alukan vaksin itu diberikan kepada semua yang terlibat dalam industri ini lebih awal,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Taman Bukit Tawau (TBT) di sini, hari ini.
Beliau berkata program imunisasi COVID-19 di negara ini dijangka dapat memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat COVID-19 dan ketibaan vaksin ke negara ini merupakan satu titik permulaan dalam memastikan sektor-sektor ekonomi yang terjejas akan bangkit semula. – Bernama