FRANKFURT, 18 APRIL – Jurulatih Tottenham yang berada dalam tekanan, Ange Postecoglou berkata kemenangan 1-0 ke atas Eintracht Frankfurt semalam, yang membawa pasukannya ke separuh akhir Liga Europa, membuktikan bahawa pemainnya masih percaya dengan sistem yang diterapkannya.
Musim liga terburuk Spurs dalam beberapa dekad menyebabkan Postecoglou berada di bawah tekanan, dengan laporan menyatakan dia mungkin akan dipecat bergantung kepada keputusan perlawanan semalam itu.
Namun, seperti yang jarang berlaku musim ini, Spurs beraksi dengan bersungguh-sungguh dan mengawal permainan selepas mendahului 1-0 sejurus sebelum separuh masa menerusi sepakan penalti oleh Dominic Solanke.
Jurulatih dari Australia itu beberapa kali merujuk kepada kemungkinan pemecatannya dalam minggu-minggu kebelakangan ini, namun dia berkata dirinya dan skuad tidak pernah meragui hala tuju pasukan.
“Penyokong kami telah melalui masa yang sukar. Mudah-mudahan kemenangan ini memberikan mereka sesuatu untuk dinanti-nantikan,” kata Postecoglou selepas perlawanan.
“Saya masih jurulatih yang sama seperti kelmarin. Para pemain tidak pernah hilang keyakinan. Ramai yang suka memperlekeh dan memperkecilkan pencapaian saya, tetapi saya biarkan sahaja perkara itu.”
Spurs dijadualkan bertemu pasukan Norway, Bodo/Glimt di separuh akhir.
Penjaring gol, Solanke, yang sebelum ini tidak menjaringkan gol sejak Januari lalu, memberitahu wartawan, “Musim ini sukar untuk kami semua, tetapi kini kami berpeluang untuk memenangi sesuatu dan itu akan menjadi luar biasa.
“Pada hari terbaik kami, kami boleh menewaskan sesiapa sahaja. Inilah yang kami dambakan – perlawanan besar dan detik-detik penting seperti ini.” – AFP
