LONDON, 29 April – Bek tengah Liverpool Virgil van Dijk dinobatkan sebagai pemenang anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional England (PFA) 2019, hari ini.
Van Dijk mengikuti jejak rakan sepasukannya di Liverpool, Mohamed Salah yang memenangi anugerah sama tahun lalu dalam undian yang dijalankan di kalangan para pemain sekali gus menewaskan penyerang Manchester City, Raheem Sterling.
Begitupun Sterling, 24, memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik PFA mengikuti langkah rakan sepasukannya dari City, Leroy Sane.
Van Dijk menyertai Liverpool dari Southampton dengan nilai 75 juta pound pada Januari 2018. Pemain Belanda berusia 27 tahun itu menjadi antara tonggak Liverpool dalam usaha kelab itu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Kehadiran Van Dijk jelas meningkatkan jentera pertahanan Reds dengan pasukan itu mencatatkan 20 perlawanan tanpa bolos dan hanya melepaskan 20 gol musim ini.

“Saya fikir sukar untuk menggambarkannya dengan kata-kata,” kata Van Dijk yang muncul pertahanan pertama memenangi anugerah berkenaan sejak pemain Chelsea, John Terry memenanginya 14 tahun lalu.
“Saya fikir ia adalah penghargaan paling tinggi yang kamu boleh peroleh sebagai pemain apabila diundi sebagai pemain terbaik tahunan oleh para pemain yang kamu hadapi setiap minggu. Ia istimewa. Saya berasa dihormati dan amat bangga untuk menerimanya.”
Van Dijk yang akan mengharungi saingan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona minggu ini menambah, “Jika kamu melihat standard penyerang atau pemain tengah yang kita miliki di liga ini, ia sukar dipercayai.”
Sementara itu, pemain kebangsaan England, Sterling turut dipuji atas usahanya bersuara mengenai masalah perkauman yang melanda bola sepak.
Bagi kategori wanita, anugerah Pemain Terbaik PFA dimenangi pemain Arsenal, Vivianne Miedema yang membantu Gunners menjulang gelaran Liga Super Wanita yang kali terakhir dimenangi pada 2012. – AFP