BEIJING, 9 OKT – Pemain bola sepak antarabangsa Togo, Samuel Asamoah, patah leher selepas terhantuk dengan papan iklan di tepi padang semasa perlawanan domestik di China, menurut kelabnya yang bimbang beliau mungkin berisiko lumpuh.
Rakaman video menunjukkan pemain berusia 31 tahun itu ditolak oleh pihak lawannya semasa berebut bola dalam perlawanan Liga Satu China pada Ahad, lalu terhumban dengan kepala terlebih dahulu ke arah sebuah papan iklan LED.
Pemain tengah kelab itu, Guangxi Pingguo berkata, Asamoah mengalami patah tulang leher dan kerosakan saraf serta telah menjalani pembedahan.
Kelmarin, kelab berkenaan memaklumkan, Asamoah dalam proses pemulihan selepas pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil.
“Guangxi Pingguo FC dengan tulus mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan semua pihak atas keprihatinan serta sokongan terhadap Samuel Asamoah,” kata pasukan itu.
Tambah mereka, “Kemajuan proses pemulihannya akan diumumkan dari semasa ke semasa selepas pemeriksaan susulan.”
Asamoah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di Belgium sebelum berpindah ke China tahun lalu.
Memetik kenyataan pihak berkuasa bola sepak China, portal yang disokong kerajaan, The Paper telah melaporkan paparan iklan itu diletakkan tiga meter daripada kawasan padang, sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Pemain lawan, Zhang Zhixiong dari pasukan Chongqing Tonglianglong, diberikan kad kuning selepas insiden tersebut. – AFP


