Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Teknologi kini telah berkembang dengan pesat dan menjadi lebih pintar, lebih canggih serta telah memberikan kesan kepada perubahan cara hidup dari segi komunikasi, pembelajaran dan tidak ketinggalan, ia turut digunakan dalam jual beli sesuatu produk.
Oleh itu, acara Brunei Tech Time memberikan peluang kepada pemaju-pemaju perisian tempatan untuk berkongsi pandangan dan idea bagi menghasilkan perisian yang boleh memberi impak yang positif kepada bukan sahaja penduduk dalam negara tetapi juga masyarakat global.
Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Google Development Group (GDG) Brunei, Dayang Rahimah binti Yussof dalam kata alu-aluannya semasa acara Brunei Tech Time yang berlangsung di Auditorium, iCentre, Anggerek Desa, hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa acara yang dianjurkan oleh GDG dan Women TechMakers Brunei dengan kerjasama Open Developer Community.bn dan Magic Media itu menggabungkan dua acara global iaitu Google Cloud Next Extended ’17 dan Hari Wanita Antarabangsa.
Acara itu disertai oleh seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan tenaga pengajar institusi pendidikan tinggi, ahli profesional serta kakitangan kerajaan dan swasta, di mana mereka diberikan pendedahan kepada perkembangan terkini dalam teknologi Google Cloud Platform (GCP).

Semasa acara itu, Dayang Rahimah turut memberikan penerangan mengenai dengan Google Cloud Next Extended ’17, yang menurutnya, ia merupakan perjumpaan terbesar bagi komuniti Google Cloud Platform bagi berkongsi perkembangan terkini dalam bidang teknologi Cloud.
Katanya, semasa GCP NEXT yang diadakan di San Francisco di Amerika Syarikat pada 8 hingga 10 Mac, para peserta telah berkongsi pengalaman bagaimana teknologi Cloud membantu untuk merubah cara menjalankan perniagaan mereka dan bagaimana tekno-logi berkenaan dapat membantu memperkasakan lagi kakitangan, memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan selain menyediakan platform bagi hala tuju perniagaan mereka.
Dayang Rahimah turut memberikan penerangan mengenai Hari Wanita Sedunia terutama peranan yang dimainkan oleh Women TechMakers Brunei yang merupakan satu gerakan untuk meraikan dan mempromosikan lebih ramai wanita untuk belajar, berkomunikasi dan berkongsi pengalaman mereka dalam bidang teknologi.
Acara tersebut kemudian turut diisikan dengan ceramah bertajuk ‘Women in Tech on IOT’ oleh Peneraju Women TechMakers Brunei, Vanessa Teo, di mana beliau berkongsi mengenai usaha bagi menerajui penglibatan dan inovasi serta mempromosikan penyertaan wanita dalam bidang teknologi.