Pemakaian gelang tangan bagi pesakit, kontak COVID-19

Oleh SIM Y. H.

Sebagai langkah tambahan pengawalan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan bersama pelbagai agensi telah menggunakan kaedah pemakaian gelang tangan bagi mereka yang telah dikenal pasti positif COVID-19 dan juga bagi kontak-kontak yang telah dikenakan Perintah Kuarantin Digital (PKD) sejak 15 September lalu.

Kenyataan menyatakan sebanyak 14,813 gelang tangan biru telah dipasang di pusat-pusat swab. Manakala itu, sebanyak 11,837 gelang telah pun dilepaskan secara dalam talian menerusi Pusat Panggilan Gelang Kuarantin (PPGK) membuat panggilan bagi pelepasan gelang.

Operasi itu juga termasuk pelepasan gelang tangan merah bagi pesakit positif COVID-19 yang baru dipindahkan dari pusat-pusat pengasingan ke rumah persendirian untuk menyambung menjalani kuarantin sejak 23 September lalu di mana sebanyak 2,630 pelepasan gelang tangan merah telah pun dilaksanakan.

Dalam pemakaian gelang tangan itu, terdapat dua jenis gelang tangan yang akan dipakai bagi pesakit COVID-19 dan kontak-kontak terdekat iaitu bagi individu-individu yang dikenal pasti positif COVID-19 iaitu kod BruHealth ungu, mereka dikehendaki untuk memakai gelang tangan berwarna merah.

Manakala bagi kontak-kontak terdekat seperti kontak utama, kontak sekunder atau kontak bluetooth yang dikenakan Perintah Kuarantin Digital (PKD), dengan kod BruHealth merah akan memakai gelang tangan berwarna biru di pusat-pusat swab semasa individu berkenaan diarahkan untuk menjalani ujian swab.

Gambar fail menunjukkan gelang berwarna merah adalah bagi pesakit COVID-19 dan gelang berwarna biru bagi kontak-kontak terdekat atau mereka yang diarahkan untuk menjalani pengasingan diri setelah menjalani ujian swab.
Kontak-kontak terdekat kepada kes positif COVID-19 akan diperlukan untuk menjalani ujian swab di pusat-pusat swab termasuk pusat swab pandu lalu selaras dengan PKD mereka. – Gambar fail

Kriteria pengecualian pemakaian gelang tangan berkenaan adalah bagi para pelancong, individu yang diarahkan untuk menjalani ujian swab hari ke-12 iaitu swab kedua, petugas barisan hadapan sektor kesihatan dan individu yang menjalani ujian swab bagi survilans.

Walau bagaimanapun, kontak terdekat yang menjalani ujian swab bagi survilans dan masih memegang kod BruHealth hijau ataupun belum bertukar kepada kod BruHealth merah serta dikenal pasti berhubung secara langsung dengan ahli keluarga lain ataupun rakan sekerja yang telah mendapat kod BruHealth merah adalah dikehendaki untuk memakai gelang tangan berwarna biru.

NDMC ingin menekankan bahawa pemakaian gelang tangan adalah wajib dipakai di sepanjang tempoh PKD. Kontak-kontak terdekat kepada kes positif COVID-19 akan dihubungi dan dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan.

Seterusnya mereka akan diperlukan untuk menjalani ujian swab di pusat-pusat swab termasuk pusat swab pandu lalu selaras dengan PKD mereka.

Semasa menjalani ujian swab, kontak-kontak terdekat akan diarahkan untuk memakai gelang tangan berwarna biru untuk menjalani pengasingan diri di rumah di bawah PKD mereka.

Pada tarikh tamat PKD, kontak-kontak terdekat yang memakai gelang tangan akan dihubungi oleh PPGK untuk membuat pemeriksaan gelang tangan berkenaan sebelum membuat pelepasannya menerusi panggilan atas talian WhatsApp secara panggilan video.

Penyiasatan akan dijalankan jika gagal menjawab panggilan itu dan lawatan secara ad-hoc akan dibuat oleh Pasukan Lawatan ke Rumah (Home Visit Team, HVT) ke kediaman mereka. Pasukan yang bertugas akan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya tidak memberikan kerjasama semasa membuat lawatan berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat sebarang maklumat yang kurang lengkap seperti nombor talian yang tidak tepat, boleh menyebabkan kesukaran buat pihak PPGK untuk menghubungi dan membuat pelepasan gelang tangan.

Oleh itu, orang ramai disarankan untuk memastikan maklumat yang dikongsi kepada pusat swab adalah tepat dan lengkap.

Bagi pesakit positif, dinasihatkan untuk menunjukkan discharge ticket diperoleh daripada pusat-pusat pengasingan masing-masing sebelum berpindah ke rumah persendirian bagi tujuan pengesahan sebelum pelepasan gelang tangan boleh diteruskan.

Selain itu, NDMC ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk memuat turun aplikasi BruHealth dan mengemas kini maklumat peribadi mereka untuk melancarkan lagi pengesahan bagi pelepasan gelang tangan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa memberikan kerjasama sepanjang perhubungan bersama petugas.

Kenyataan menyatakan pada masa ini, talian bantuan (helpline) PPGK secara purata menerima sebanyak 1,000 panggilan dalam satu hari dan oleh itu, PPGK memohon kerjasama orang ramai sekiranya ada kelewatan dalam menghubungi individu-individu yang masih memakai gelang tangan dan telah menamatkan PKD mereka tetapi belum dihubungi oleh PPGK.

Dalam hubungan itu, PPGK akan mempertingkatkan lagi usaha bagi melancarkan proses pelepasan gelang tangan, memandangkan peningkatan kontak-kontak terdekat dan orang awam yang memakai gelang tangan semakin meningkat.

NDMC juga ingin merakamkan se tinggi-tinggi penghargaan dan me ngucapkan ribuan terima kasih kepada kementerian dan agensi-agensi yang terlibat seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Radio Televisyen Brunei, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Daerah Temburong, Persatuan Pandu Puteri Brunei, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan pacuan 4 roda serta Sukarelawan Belia dalam berganding bahu dalam pelancaran operasi itu dan di atas kerjasama semua pihak tentunya sangat dihargai bagi memupuk lagi pendekatan seluruh negara (Whole-of-nation Approach) dalam menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Dalam kenyataannya lagi, NDMC menyatakan bagi maklumat lanjut, untuk merujuk garis panduan pemakaian gelang tangan yang telah dimuat naik dalam pelbagai bahawa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil di laman media sosial NDMC melalui Facebook, Instagram dan halaman rasmi gov.bn menerusi Telegram.

Manakala bagi sebarang pertanyaan mengenai pemakaian gelang tangan, orang ramai boleh menghubungi talian PPGK melalui WhatsApp, +673 8150522 (Helpline 1) atau +673 8160522 (Helpline 2) semasa waktu operasi iaitu dari pukul 9 pagi hingga 5.30 petang setiap hari ataupun melalui e-mel dihantar kepada wristband.ndmc@gov.bn.

Sementara itu, bagi sebarang aduan, orang awam boleh membuat laporan kepada Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 (N3C19) mengenai insiden seperti didapati keluar kediaman bagi mereka yang masih menjalani PKD dan memakai gelang tangan melalui talian-talian berikut, +673 8176148, +673 8175148, +673 8166148 dan +673 8155148.

NDMC ingin menekankan lagi kepada orang ramai terutama sekali bagi mereka yang memakai gelang berkenaan untuk tidak meninggalkan tempat kediaman PKD belum selesai, kod BruHealtah belum bertukar menjadi hijau dan gelang berkenaan belum dilepaskan oleh PPGK.

Kenyataan menekankan juga bahawa seperti mana kenyataan media Kementerian Kesihatan pada 11 September lalu, sesiapa yang melanggar peraturan penggunaan gelang tangan boleh di dakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) dan dikenakan kompaun sehingga $5,000.00.