TEHRAN, 28 JUN – Iran hari ini berkata ia akan mula mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di kawasan tertentu dan telah membenarkan wilayah yang dilanda virus untuk kembali dikenakan sekatan, tatkala angka kematian akibat koronavirus di negara timur tengah itu semakin meningkat.
Langkah baharu itu diumumkan ketika Iran mencatatkan 144 kematian baharu akibat wabak COVID-19, jumlah kematian tertinggi untuk satu hari dalam tempoh hampir tiga bulan. Negara itu telah berusaha untuk tidak mengenakan perintah lockdown secara sepenuhnya untuk menghentikan penyebaran wabak itu, dan penggunaan penutup mulut dan hidung serta alat pelindung telah menjadi pilihan di kebanyakan wilayah.
Presiden Hassan Rouhani mengatakan Iran perlu membiasakan diri dengan normal baharu iaitu mengamalkan penjarakan sosial, ketika dia mengumumkan langkah-langkah terbaharu untuk menangani penularan wabak itu.
“Pemakaian penutup mulut dan hidung akan diwajibkan di tempat tertutup di mana terdapat perhimpunan,” katanya dalam satu pertemuan pasukan petugas anti-virus di televisyen.
Menurutnya, langkah tersebut akan bermula minggu depan, berlanjutan hingga 22 Julai dan akan dilaratkan jika perlu. Rouhani mengatakan kementerian kesihatan telah membuat ‘senarai yang jelas’ mengenai jenis ruang dan perhimpunan yang dianggap berisiko tinggi, tetapi dia tidak mengulas lebih lanjut.– AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-11-B_29062020.jpg)