Pemanah negara di tempat ke-3

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Atlet pemanah Brunei Darussalam, Khairul Ariffin bin Haji Baha berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori recurve lelaki di 2021 Gold Medalistar X Remote Archery Scoring Challenge yang diadakan baru-baru ini.

Ahli Kelab Memanah Setia Bersatu berjaya mengumpul 534 mata di belakang pemenang kejohanan Naveer Fikri bin Zinuldin dari Kelab Memanah Xtend yang mencatat 584 mata dan Ariffin bin Sharif dari Pemanah Al-Ikhlas Infinity dengan 551 mata.

Sementara itu, pemanah wanita tempatan Amal Rashidah binti Haji Yussof meraih tempat keempat dalam kategori recurve wanita setelah berjaya mengumpul 400 mata. Seramai 26 pemanah tempatan termasuk sembilan dari Ar-Rafi Archery Brunei bertanding dalam kategori terbuka tradisional, sementara tujuh pemanah menyertai kategori terbuka barebow serta enam menyertai kategori terbuka recurve dan tiga di kategori terbuka kompaun.

Dua pemanah muda dari Ar Rafi Archery Brunei, Mohammad Harith Iskandar bin Mazlan dan Nur Sarra ’Batrisyia binti Mazlan juga telah menyertai pertandingan tersebut dalam kategori tradisional bawah 18 tahun, sementara wakil dari Kelab Memanah Setia Bersatu, Ahmad Daniel bin Asmawi menyertai kategori bawah 18 tahun.

Kejohanan tersebut yang berlangsung selama tiga hari itu bermula pada 8 Januari lalu adalah anjuran Gold Medalistar Archery dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh dan Persatuan Memanah Negeri Kelantan yang disertai oleh negara-negara serantau seperti Malaysia selaku tuan rumah, Indonesia dan Brunei.

Antara aksi atlet-atlet memanah yang menyertai kejohanan tersebut. – Gambar serahan Kelab Memanah Setia Bersatu