PARIS, 12 OGOS – Kadar pemanasan di Artik empat kali lebih cepat berbanding tempat lain di bumi dalam tempoh 40 tahun, menurut satu kajian diterbitkan kelmarin, mencadangkan bahawa model iklim memandang rendah kadar pemanasan di Kutub Utara.
Panel sains iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam satu laporan khas pada 2019 mengatakan bahawa pemanasan Artik adalah ‘lebih dua kali ganda berbanding purata global’ disebabkan proses dikenali sebagai peluasan Artik.’
Ini berlaku apabila ais dan salji laut, yang secara semula jadinya memantulkan kepanasan matahari, mencair ke dalam laut yang menyerapnya.
Meskipun terdapat kesepakatan lama antara saintis bahawa Artik panas lebih cepat, anggaran kecepatan adalah berbagai-bagai berdasarkan jangka waktu kajian dan definisi geografi bagi kawasan yang termaktub dalam lingkaran Artik.
Sekumpulan penyelidik berpangkalan di Norway dan Finland menganalisis empat set data suhu dikumpulkan melalui kajian satelit sejak 1979 – tahun ketika data satelit mula tersedia – terhadap seluruh lingkaran Artik.

Mereka mendapati secara purata data itu menunjukkan Artik bertambah panas 0.75 darjah Celsius sedekad, hampir empat kali ganda lebih pantas berbanding tempat lain di bumi.
“Maklumat yang sering ditekankan pemanasan Artik adalah dua kali lebih pantas berbanding seluruh dunia, maka ia agak mengejutkan apabila kajian kami adalah lebih tinggi berbanding kelazimannya,” Antti Lippnonen, penulis bersama kajian dari Institut Meteorologi Finland, memberitahu AFP. Kajian disiarkan dalam jurnal Communications Earth & Environment, menekankan variasi kawasan signifikan dalam kadar pemanasan di sekitar lingkaran Artik.
Contohnya, sektor Eurasia di Lautan Artik berhampiran Svalbard dan gugusan kepulauan Novaya Zemlya, mencatatkan kepanasan setinggi 1.25 darjah Celsius sedekad – tujuh kali lebih pantas berbanding seluruh dunia.
“Perubahan iklim adalah disebabkan manusia. Ketika Artik mula panas, glasiernya akan mencair dan ini akan menjejaskan paras air laut global,” kata Lipponen.
“Sesuatu sedang berlaku di Artik dan ia akan menjejaskan kita,” tambahnya. – AFP