Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Isu pemanasan global dan penyakit mental perlu diberi perhatian mendalam oleh semua pihak dan ditangani sama seperti kita menangani pandemik COVID-19 kerana semuanya adalah berstatus ‘musibah.’
Sehubungan itu, pihak berwajib hendaklah menyediakan garis panduan dan nasihat cara untuk menghadapi fenomena ini dan cara atau terapi bagi mengelak dan mengubati penyakit mental.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyentuh mengenai perkara itu dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 2023 yang disiarkan secara langsung dari Istana Nurul Iman, hari ini.
Baginda mempersoalkan jika COVID boleh dihadapi dengan SOP saintifik dan vaksin ketuhanan, dua fenomena tersebut kenapa tidak boleh dilakukan sedemikian, apa yang perlu adalah inisiatif bersama pihak-pihak berkenaan.
Fenomena pemanasan global bukan sahaja membawa impak besar kepada kehidupan dan berdasarkan kajian, ia mengurangkan hasil tanaman di seluruh dunia, sekali gus mempengaruhi dan menjejaskan kesejahteraan umat manusia, tekan Baginda.
“Tahap pemanasan melampau, boleh membawa kesan sangat buruk seperti kematian, penyakit kronik, kehilangan pendapatan dan kurang bekalan air serta makanan,” titah Baginda.
Manakala ketika menyentuh mengenai fenomena pemanasan melampau di negara ini, ia juga satu musibah dan sebagai umat Islam, kita perlu memperbanyakkan doa dan ibadat kepada Allah SWT dengan memohon agar kita dan negara diberikan perlindungan daripada kesan pemanasan yang membahayakan itu, seru Baginda. Sehubungan itu, kita sepatutnya peka dan sentiasa berhati-hati kerana cuaca yang panas ini boleh membawa kesan buruk kepada tubuh badan seperti strok haba.
Langkah terpenting adalah mematuhi segala garis panduan kesihatan seperti antaranya meminum banyak air tanpa perlu menunggu dahaga, membatasi aktiviti luaran dan memakai pakaian yang bersesuaian dan sebagainya, tekan Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berharap jemaah haji Brunei yang berada di tanah suci agar sentiasa melindungi diri masing-masing daripada kesan pemanasan melampau yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan.
Ketika menyentuh mengenai penyakit mental pula, Baginda turut mengongsikan bahawa beban kesihatan mental di peringkat global semakin meningkat baru-baru ini.
Brunei juga tidak terkecuali, dengan sejumlah 1,515 individu telah didiagnosis dengan gangguan kebimbangan dan lebih 900 individu didapati mengalami gangguan depresi, tambah Baginda.
Gejala mental ini menurut kajian global adalah disebabkan pandemik COVID sehingga mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi dengan anggaran satu dalam empat individu mengalami masalah mental.
“Beta telah pun mengikuti dan membaca dua ceramah utama oleh pihak kesihatan dan pihak agama di mana kedua-duanya mengemukakan pendekatan berbeza tetapi sama-sama mempunyai nilai signifikan yang boleh dijelmakan menjadi tindakan bersepadu mengenainya, tetapi belum ada kedengaran usaha ke arah itu.
“Pendekatan pihak agama melihat penyakit mental itu pangkalannya ‘di hati’ dan penyakit hati pula menurut Al-Quran ubatnya ialah ‘zikir’ dan pendekatan ini amatlah menyuntik untuk difikirkan sebagai salah satu jenis rawatan di pusat-pusat perubatan.
“Pihak kesihatan dan agama sangat elok untuk menunduki perkara ini bersama-sama,” saran Baginda.
Di akhir titah, Baginda berharap jemaah haji negara sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah di sepanjang kerja-kerja haji serta beroleh haji yang mabrur. Baginda turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha Al Mubarak kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana saja mereka berada.