ZANZIBAR, TANZANIA – Kira-kira jam 10 setiap pagi, wanita berhijab dan berpakaian panjang longgar mengharungi air pasang cetek berwarna biru kehijauan di Zanzibar untuk menjaga ladang span mereka, satu talian hayat baharu selepas perubahan iklim mengubah pekerjaan mereka sebelum ini.
Peningkatan suhu lautan, penangkapan ikan berlebihan dan pencemaran telah merosakkan ekosistem laut di sekitar pulau itu, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan utama penduduk tempatan di kampung Jambiani yang lama bergantung pada pertanian rumpai laut.
Suhu panas telah membunuh rumpai laut dan penurunan stok ikan telah mendorong ramai nelayan berhenti menangkap ikan, kata pengurus projek Ali Mahmudi.
Tetapi span, yang menyediakan tempat perlindungan dan makanan untuk hidupan laut, cenderung berkembang dan hidup dengan baik di perairan yang lebih panas.
Ia juga lumayan sebagai produk penjagaan diri organik, yang digunakan untuk pengelupasan kulit. Bergantung pada saiz, ia boleh mencecah sehingga AS$30 setiap satu dan sebuah ladang boleh mempunyai 1,500 span.





Dari pantai, kayu hitam dapat dilihat menjulur keluar dari air, menampung barisan span.
“Saya terkejut apabila mengetahui bahawa span wujud di laut-an,” kata Nasiri Hassan Haji, 53, kepada AFP, mengimbas kembali ketika dia pertama kali mengetahui tentang amalan ini lebih sedekad yang lalu.
Ibu kepada empat anak itu pernah mengusahakan rumpai laut, menggambarkan kerja itu sebagai intensif buruh dengan pulangan yang sedikit.
Pada tahun 2009, Marine Cultures melancarkan ladang perintis dengan wanita balu di Jambiani untuk menguji potensi mereka di gugusan kepulauan itu, di mana lebih satu perempat daripada 1.9 juta penduduk hidup di bawah garis kemiskinan.
Dengan permintaan untuk produk mesra alam yang semakin meningkat, pasaran itu telah berkembang berterusan, dengan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS menganggarkan nilai pasaran span semula jadi pada harga AS$20 juta pada tahun 2020.
“Ia telah mengubah hidup saya, saya dapat membina rumah saya sendiri,” kata Shemsa Abbasi Suleiman yang berusia 53 tahun, sambil tersenyum bangga.
Ramai wanita lain kini telah menyertai koperasi untuk mengembangkan projek itu, tetapi ia tidak selalunya berjalan lancar.
“Pada mulanya saya takut untuk menyertainya kerana saya tidak tahu berenang. Ramai orang tidak menggalakkan saya kerana mengatakan airnya terlalu banyak dan saya akan mati,” kata Haji.
Disebabkan program NGO, dia mula belajar berenang pada usia 39 tahun.
SPAN PULIHKAN TERUMBU KARANG
Selain menjana pendapatan untuk penduduk tempatan, span juga bermanfaat untuk persekitaran marin.
Kajian menunjukkan bahawa struktur rangka span membantu proses kitar semula karbon dalam ekosistem terumbu karang, manakala badannya yang berliang secara semula jadi menapis dan membersihkan air laut.
Dianggarkan 60 peratus ekosistem marin dunia telah terdegradasi atau digunakan secara tidak lestari, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang memberi amaran bahawa ‘lautan sedang mengalami krisis yang teruk.’
Span juga diketahui dapat membantu memulihkan terumbu karang, yang menyokong 25 peratus hidupan marin dan kini berdepan ancaman.
“Apa yang menarik saya kepada perkara ini adalah hakikat kita tidak memusnahkan alam sekitar,” kata Haji.
Zanzibar adalah sebahagian daripada Tanzania, di mana protes ganas meletus di tanah besar pada hari pilihan raya bulan lalu, dengan sumber menunjukkan ratusan, jika bukan ribuan, mungkin telah terbunuh.
Dua minggu kemudian, kerajaan masih belum memberikan sebarang angka korban dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menggesa siasatan dilancarkan. – AFP
