Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemanasan laut jejas mata pencarian penternak kupang

    KALIAKRA, BULGARIA – Berdepan dengan peningkatan suhu Laut Hitam yang menjejas teruk kupang ternakannya, Nayden Stanev dari Bulgaria terpaksa mengubah caranya, mengubah jadual pembenihan dan menuai pada kedalaman perairan yang lebih sejuk.

    Namun Stanev, bekas komando marin berusia 56 tahun, melihat kesan daripada perubahan iklim sebagai ancaman dan juga peluang untuk perniagaannya.

    Seteruk mana pun penternak kupang Bulgaria, rakan sebaya mereka di Laut Mediterranean juga terpaksa berhadapan dengan suhu air laut yang lebih tinggi.

    “Nasib kami lebih baik,” beritahu Stanev kepada AFP.

    Walaupun anggota Kesatuan Eropah (EU) Balkan itu masih ketinggalan jauh di belakang pengeluar kupang Mediterranean utama seperti Sepanyol dan Itali, ia telah menerajui industri itu di Laut Hitam.

    Penuai mengasingkan kupang di kapal semasa pengumpulan kupang berdekatan Cape Kaliakra di selatan Pantai Laut Hitam, utara Bulgaria. – AFP
    Gambar pemandangan udara menunjukkan kapal penuaian kupang mengumpul kupang di sebuah ladang berdekatan Cape Kaliakra, Pantai Laut Hitam. – AFP
    Gambar menunjukkan kupang melekat pada jaring semasa pengumpulan kupang berdekatan Cape Kaliakra. – AFP
    Pemilik ladang kupang Nayden Stanev mengasingkan kupang di sebuah kapal. – AFP
    Gambar AFP
    Penuai kupang memasukkan kupang ke dalam trak sejuk beku di pelabuhan berhampiran Cape Kaliakra. – AFP
    Gambar AFP

    Dan mereka kurang terjejas oleh gelombang haba laut, yang telah mendorong kepada kemerosotan mendadak dalam ternakan kupang Eropah, menurut pakar.

    Namun perairan yang lebih panas masih menimbulkan ancaman kepada penternak kupang Laut Hitam.

    “Kira-kira 20 peratus daripada kupang tidak mampu bertahan tahun ini,” kata Stanev dengan serius, ketika cangkerang kosong berlonggok di atas dek bot diesel lamanya.

    “Tahun lepas, ia adalah pembunuhan besar-besaran di mana 80 peratus musnah. Kupang benar-benar mati lemas di laut yang panas dengan terlalu cepat,” tambahnya.

    PERUBAHAN YANG BERKEKALAN

    Para saintis berkata perubahan iklim telah menjadikan gelombang haba laut semakin kerap dan kuat, dan rantau Mediterranean panas lebih cepat daripada purata global.

    Pada bulan Julai, suhu purata permukaan Laut Mediterranean ialah 26.79 darjah Celsius, paling panas pernah dicatat untuk bulan itu, menurut pusat penyelidikan Mercator Ocean International.

    Dalam tempoh yang sama, purata suhu permukaan di Laut Hitam ialah 25.46 darjah Celsius, kurang daripada di Mediterranean, walaupun ia juga semakin panas.

    “Apabila suhu menghampiri atau melebihi kira-kira 26 darjah Celsius, ambang yang dikaitkan dengan kematian kupang besar-besaran, untuk tempoh berpanjangan semasa musim kemuncak pasaran, ia mewujudkan gangguan dalam rantaian bekalan,” beritahu John Theodorou, pakar di Universiti Patras di Greece, kepada AFP.

    Di Laut Hitam, suhu permukaan telah meningkat hampir dua darjah dalam dua tahun, menurut Radoslava Bekova dari Institut Oseanologi di Akademi Sains Bulgaria.

    “Laut sedang mengalami perubahan yang berkekalan,” katanya kepada AFP.

    Dia menambah tempoh pemanasan yang berpanjangan, apabila laut tidak mempunyai masa untuk menjadi sejuk, melemahkan kupang, menjadikannya lebih mudah terdedah kepada penyakit.

    PERMINTAAN TINGGI

    Bersama enam pekerjanya, perintis Bulgaria, Stanev berada di geladak pada waktu subuh untuk menuai dan menghantar kupangnya, dengan musim mencecah kemuncaknya pada penghujung bulan Ogos.

    Dia menubuhkan perniagaannya lebih 20 tahun lalu di teluk Cape Kaliakra, lokasi utama yang terlindung daripada arus kuat.

    Dengan telefonnya berdering tanpa henti, Stanev mencatat pesanan pada buku nota kecil.

    Pada hari ini, dia perlu menghantar tidak kurang daripada 10 tan kupang untuk memenuhi permintaan ratusan restoran dan penjual di Bulgaria dan negara jiran Romania.

    Selepas perjalanan singkat dari pantai, anak kapal sampai ke ladang kerang seluas 200 hektar.

    Pelampung hitam terapung di permukaan, dengan jaring tiub panjang menampung cangkerang yang melekat padanya.

    Kesemua mereka bekerja dalam senyap dengan gerak isyarat yang berlaku serentak: seorang menarik jaring keluar dari air, seorang lagi membersihkannya dan yang ketiga mengasingkan cangkerang.

    Beg-beg kupang bertimbun tinggi, setiap satu mengandungi kira-kira 800 kilogram, ketika burung dendang air mencari sisa makanan.

    Apabila bot kembali ke dermaga pada awal petang, beberapa trak sejuk beku sudah menunggu, bersama-sama penduduk kampung dengan baldi kosong, tidak sabar-sabar untuk membeli kupang segar untuk keluarga mereka.

    Sementara pengeluaran global terus berkembang, ia telah merosot di EU sejak 2018, menurut data dari Balai Cerap Pasaran Eropah untuk Produk Perikanan dan Akuakultur (EUMOFA).

    Kira-kira 356,500 tan kupang telah dituai di EU pada 2023, kira-kira 21 peratus kurang berbanding 2018, menurut data EUMOFA.

    Sepanyol mendahului dengan 155,700 tan diikuti Itali dengan 57,279 tan dan sebagai perbandingan, Bulgaria menyumbang kira-kira 1,100 tan.

    Walaupun pengeluaran Eropah jatuh dalam tempoh itu, nilai mereka meningkat hampir 50 peratus, berjumlah kira-kira 463 juta euro pada 2023.

    “Jurang nilai ini telah mewujudkan peluang untuk pengeluaran kerang Laut Hitam,” kata Theodorou. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda