Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandangan semula jadi tarikan Holguin

    HOLGUIN – Bahagian timur wilayah Holguin merupakan destinasi pantai-pantai Caribbean yang cantik dan pemandangan yang menakjubkan menjadi kunci utama untuk menarik para pelancong ke Cuba.

    Pada akhir tahun ini, rantau ini dijangka menerima setengah juta pelancong, kebanyakkannya dari Kanada yang berjumlah lebih daripada 40 peratus dari keseluruhan para pelancong ke pulau itu. Hotel Prestige Almirante akan siap dibina tidak lama lagi. Hotel ini mempunyai 515 buah bilik dan taman peranginan di Guardalavaca. Bandar ini sangat terkenal dengan keindahan dan pantainya yang putih bersih dan airnya yang kebiruan.

    Hotel baharu ini merupakan sebahagian daripada rancangan industri pelancongan untuk menggandakan jumlah bilik hotel di seluruh kepulauan itu pada masa akan datang. Sekarang, 24 buah hotel telah dibina di Holguin dan sebahagiannya dimiliki oleh rantaian antarabangsa seperti hotel Melia dan Iberostar, dari Sepanyol atau hotel Fiesta Americana dari Mexico.

    “Sejak tahun 90an, pelancongan merupakan peluang yang besar untuk meningkatkan ekonomi Cuba dan semestinya termasuk Holguin,” kata Maykel Roberts, Pakar Pemasaran Kementerian Pelancongan di wilayah tersebut.

    Namun tiga dekad yang lalu, Holguin tidak banyak hotel yang mempunyai bilik sehingga beribu-ribu buah. “Sekarang kami mempunyai lebih daripada 6,000 dan pada tahun 2030, kami menjangkakan untuk menggandakan lagi jumlah bilik itu,” kata Roberts.

    Antara pantai yang menjadi tarikan para pelancong luar negara di Holguin. – Agensi

    Beliau juga mengatakan wilayah itu telah mencatatkan kepesatan dalam industri pelancongan. Ramai pelancong asing kembali semula untuk bercuti seperti pelancong dari Kanada, Eric Remno. Dia telah melawat Guardalavaca lebih daripada 20 kali.

    “Penduduk di sini sangat baik bahkan anda akan mendapat kawan baharu dan ia membuatkan saya berasa seperti inilah rumah kedua saya,” kata Remno.

    Manakala bagi penduduk Poland, Matheus Stanislawsky dan pasangannya Agnieszka pertama kali datang ke Cuba.

    “Saya pernah pergi ke beberapa tempat seperti Malta, Yunani dan Jerman, tetapi tempat ini merupakan tempat yang sangat indah yang pernah saya kunjungi,” kata Stanislawsky.

    Selain daripada tarikan pantai yang indah di Holguin, kementerian telah mengembangkan kawasan ekopelancongan.

    Taman negara, alam semula jadi, pemandangan semula jadi dan hidupan liar yang dilindungi merupakan sebahagian dari laluan yang menampilkan lebih 17 tarikan semula jadi. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda