Wednesday, January 15, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandangan tragis dalam feri terbakar

    MANILA, FILIPINA, 31 MAC – Seorang komander pengawal pantai Filipina hari ini berkata bahawa pemandangan tragis yang dilihat pasukannya di atas feri yang ranap, termasuk mayat orang dewasa memegang kanak-kanak, telah membuatkan mereka menangis dan mencetuskan kebimbangan penumpang lain boleh ditemui mati dalam kapal yang masih hangus itu.

    Sekurang-kurangnya 29 daripada lebih 250 orang di atas kapal MV Lady Mary Joy 3 terbunuh dalam kebakaran yang meranapkan feri itu Rabu lalu ketika ia dalam perjalanan semalaman dari bandar selatan Zamboanga ke bandar Jolo di wilayah Sulu.

    Sekurang-kurangnya tujuh penumpang, termasuk dua askar tentera, masih hilang dalam bencana laut paling membawa maut di negara itu tahun ini, kata pengawal pantai.

    Gabenor Basilan, Jim Hataman pada mulanya melaporkan 31 kematian kelmarin namun kemudiannya mengurangkan angka kepada 29 selepas kumpulan mencari dan menyelamat menyemak jumlah.

    Kesemua 35 anak kapal terselamat, termasuk kapten, yang mengeluarkan arahan supaya meninggalkan kapal apabila kebakaran melanda hampir tengah malam dan kemudian sengaja menyebabkan feri itu terkandas di sebuah pulau di luar wilayah Basilan untuk memberi peluang lebih baik kepada penumpang yang tinggal untuk selamat, kata pegawai pengawal pantai.

    Ramai penumpang terjun ke laut dalam keadaan panik tanpa jaket keselamatan dan diselamatkan oleh penyelamat namun sekurang-kurangnya 11 lemas.

    Apabila sepasukan anggota pengawal pantai, termasuk pegawai Biro Bomba, menaiki feri yang terbakar itu di pantai pulau Baluk-baluk, mereka menemui mayat 18 penumpang di dek ekonomi terbuka paling atas dan satu lagi di tingkat bawah, pengawal pantai Komander Chadley Salahuddin berkata.

    Penumpang, termasuk seorang dewasa yang memegang kanak-kanak di tepi pagar, boleh dengan mudah terjun ke laut dan terselamat seperti ramai yang lain tetapi gagal berbuat demikian atas sebab yang tidak jelas.

    Dua penumpang, nampaknya adik-beradik yang merupakan antara yang hilang, ditemui berpegangan di dalam bilik air, katanya. – AP

    Gambar yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina (PCG) menunjukkan anggota PCG memeriksa MV Lady Mary Joy yang terbakar di Basilan, selatan Filipina pada awal Khamis. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda