Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandangan tumbuhan ‘ungu’ yang menakjubkan di Belgium

    BELGIUM – Di sebuah kawasan di dalam hutan, terpapar satu kecantikan semula jadi yang begitu menakjubkan di mana satu tumbuhan bunga yang dikenali sebagai ‘Bluebells’ tumbuh dengan begitu mekar di kawasan hutan tersebut.

    Situasi itu membuatkan Belgium dinobatkan sebagai salah sebuah negara yang mempunyai khazanah hidupan semula jadi yang begitu indah di dunia.

    Namun di sebalik kemekaran tumbuhan tersebut, terselit satu kebimbangan di mana di khuatiri tumbuh-tumbuhan ini menjadi mangsa kepada kerakusan pengunjung dan pelancong disebabkan oleh kecantikan tumbuhan ini.

    Pada awal minggu dalam bulan April, kawasan hutan di Hallerbos iaitu di luar kawasan ibu kota Brussels menjadi begitu terkenal disebabkan oleh kemekaran tumbuh-tumbuhan ini yang mengeluarkan warna yang begitu unik, ‘ungu’.

    “Fenomena ini seperti satu babak di dalam cerita mitos dewa-dewi atau di alam kayangan yang indah-indah dan kami berharap agar keunikan tumbuh-tumbuhan ini akan berleluasa di kawasan yang lain,” kata Marie-Rose, salah seorang penduduk tempatan ketika berjalan di kawasan itu bersama dengan suaminya.

    Pada awal minggu dalam bulan April, kawasan hutan di Hallerbos iaitu di luar kawasan ibu kota Brussels menjadi begitu terkenal disebabkan oleh kemekaran tumbuh-tumbuhan ini. – AFP
    Pada awal minggu dalam bulan April, kawasan hutan di Hallerbos iaitu di luar kawasan ibu kota Brussels menjadi begitu terkenal disebabkan oleh kemekaran tumbuh-tumbuhan ini. – AFP

    Marie Rose merupakan antara ribuan pengunjung yang datang menyaksikan sendiri keindahan tumbuh-tumbuhan itu malah terdapat juga pengunjung antarabangsa dari India, Finland dan juga Jepun datang ke kawasan tersebut.

    Para pengunjung akan sentiasa datang setiap setahun sekali bagi menyaksikan tumbuh-tumbuhan ini mekar dan dianggap sebagai salah satu rahsia keunikan yang menarik di Belgium.

    Bermula pada musim bunga, pokok-pokok akan kelihatan mekar sehingga daun-daunnya menutup tanah dibawahnya namun masih mampu memberikan sedikit sinar cahaya kepada tumbuh-tumbuhan di bawahnya seperti Blubells ini.

    Kemekaran bunga itu meliputi sekitar 555 hektar kawasan perhutanan itu dan dianggarkan sekitar sejuta tumbuh-tumbuhan itu mewarnai kawasan itu dengan warnanya yang unik dan begitu mempesonakan.

    “Tempat ini begitu unik dan saya rasa bilangan ini hanya satu-satunya yang terdapat di benua Eropah malah di dunia khususnya,” kata Adrien, yang sedang menikmati keindahan kawasan itu kepada wartawan AFP.

    Menurut pakar alam semula jadi di negara itu, bunga yang dinamakan sebagai Bluebells ini sentiasa tumbuh segar di wilayah Hallerbos dan telah tumbuh sekian lama di kawasan itu sejak berabad-abad yang lalu.

    Namun setengah daripada hutan ini telah ditebang semasa penaklukan askar Jerman semasa Perang Dunia ke II namun tidak lama selepas itu, beberapa pohon pokok di tanam kembali termasuk beberapa pokok yang diimport dari California.

    Disebabkan oleh dahan pokok yang tinggi ini menyebabkan bunga ini tumbuh dengan begitu mekar sekali setiap tahun. Namun sejak kebelakangan ini, bunga itu turut tumbuh mekar di kawasan pesisir pantai setiap tahun di negara itu.

    Kemekaran bunga itu meliputi sekitar 555 hektar kawasan perhutanan itu dan dianggarkan sekitar sejuta tumbuh-tumbuhan itu mewarnai kawasan itu dengan warnanya yang unik dan begitu mempesonakan. – AFP
    Kemekaran bunga itu meliputi sekitar 555 hektar kawasan perhutanan itu dan dianggarkan sekitar sejuta tumbuh-tumbuhan itu mewarnai kawasan itu dengan warnanya yang unik dan begitu mempesonakan. – AFP

    Ketika berada di hujung minggu, bilangan pengunjung yang datang melawat kawasan itu semakin tinggi dan situasi itu menyebabkan pihak kerajaan Belgium telah menyediakan ruang letak kereta dan juga bas yang lebih besar malah kebanyakan pengunjung juga terdiri daripada para pelajar sekolah, pelancong dan juga jurugambar-jurugambar dengan kelengkapan kamera mereka sendiri.

    Berabad untuk tumbuh lagi

    Apa yang penting ialah pihak kerajaan telah meletakkan papan tanda dan simbol larangan untuk tidak memijak bunga-bunga tersebut dan sentiasa melalui laluan pejalan kaki yang telah disediakan dan dilarang untuk menyentuh serta merosakkan bunga-bunga berkenaan.

    “Jika terlalu banyak disentuh dan dipegang, tumbuh-tumbuhan ini akan kehi-langan bunganya dan berkemungkinan ia akan terus hilang malah ia akan memakan berabad lama untuk tumbuh kembali,” kata Bruno Verhelpen, jurupandu yang mengusahakan lawatan melalui kawasan itu di Hallerbos.

    “Namun apa yang pasti, kehebatan kawasan perhutanan ini akan lebih dikenali dan sekarang, anda sendiri dapat melihat ramai jurugambar sedang mengabadikan potret yang indah terhadap bunga-bunga ini,” tambah Bruno lagi kepada wartawan AFP.

    Dalam masa dua minggu yang akan datang, bunga ini akan terus mekar terutama sekali di kawasan perhutanan itu malah laluan pejalan kaki juga akan sentiasa penuh dan sibuk seperti laluan bandar yang sibuk di ibu kota Brussels. “Apa yang membawa risiko besar ialah mereka yang ingin melakukan swafoto di kawasan itu,” kata Pierre Kestemont, renjer hutan di kawasan itu kepada wartawan AFP.

    “Beberapa tahun yang lalu, beberapa pengunjung telah mengambil beberapa keping gambar di tengah-tengah bunga yang mekar ini malah kadang kala mereka mengenakan pakaian yang aneh dan pelik namun situasi itu tidak menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap bunga-bunga itu. Sekarang, kebanyakan pengunjung sudah mula menggunakan gajet canggih mereka untuk merakam situasi dan fenomena indah itu.

    Selepas sahaja selesai berjalan kaki mengelilingi kawasan ini, saya beranggapan bahawa anda boleh saja merosakan bunga ini selama satu minggu namun bunga ini akan mengambil masa selama berabad untuk tumbuh,” kata Kestemont, salah seorang penduduk yang sering kali menghabiskan masanya selama 12 jam berbasikal di kawasan itu dan memastikan para pengunjung melalui laluan jalan kaki yang telah disediakan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda