CESSNOCK, AUSTRALIA, 13 JUN – Seorang pemandu bas didakwa memandu terlalu laju apabila bas tersebut terbabas dan melanggar pagar pengadang dalam keadaan berkabus tebal di kawasan lembah anggur Australia, membunuh 10 tetamu perkahwinan dan mencederakan 25 yang lain, dakwa polis, hari ini.
Brett Andrew Button, 58, memandu 35 penumpang dalam perjalanan selama 20 minit dari majlis perkahwinan di Wandin Estate Winery ke bandar Singleton, kedua-duanya di kawasan lembah anggur, Hunter Valley di negeri New South Wales, apabila bas Volvo 2009 terbabas di bulatan lewat minggu lepas
Button telah ditahan oleh polis tetapi dibebaskan dengan ikat jamin apabila dia hadir di Mahkamah Tempatan Cessnock hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya berkaitan dengan setiap kematian dan satu pertuduhan memandu dengan cuai.
Terdahulu, pemangku Penolong Pesuruhjaya Polis, David Waddell mendakwa Button “memasuki bulatan tersebut dengan cara yang tidak sesuai mengikut keadaan.”
“Jelas sekali, kelajuannya terlalu cepat baginya untuk melalui bulatan itu, menyebabkan kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri dan mengakibatkan kecederaan,” kata Waddell kepada pemberita.
Ia merupakan kemalangan jalan raya paling maut di Australia sejak 1994, apabila sebuah bas terbabas ketika merentasi lebuh raya dan terjatuh ke curam di Brisbane, membunuh 12 orang dan mencederakan 38.
Polis berkata Button menjalani ujian mandatori untuk dadah dan alkohol pada malam Ahad tetapi tidak terdapat tanda-tanda dia dipengaruhi elemen itu – AP


