Pemandu bawa barang tegahan ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Seorang pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu dan dipercayai memiliki barang tegahan telah ditahan semasa rondaan rutin harian yang dijalankan oleh anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di Daerah Brunei dan Muara, semalam.

Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan dan pemeriksaan ke atasnya dijalankan kerana didapati meletakkan kenderaannya di kawasan bahu jalan dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan Kampung Junjongan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, sebelum tangkapan, pergelutan berlaku setelah suspek bertindak ganas apabila diarahkan oleh pihak polis untuk keluar dari kenderaan kerana gagal menunjukkan lesen memandu.

Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu dan ketika pemeriksaan dijalankan ke atas suspek serta kenderaan berkenaan, pihak polis menemui paket plastik ketulan hablur yang dipercayai dadah jenis Syabu.

Suspek juga telah diambil tindakan atas kesalahan lalu lintas iaitu tidak mempunyai lesen memandu, ubah suai kenderaan, serta gagal tukar milik kenderaan dalam tempoh 14 hari.

Suspek telah diserahkan ke Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan lanjut.

Kenyataan menekankan, PPDB melalui JSKLL akan sentiasa menjalankan rondaan harian di kawasan-kawasan yang ditetapkan bagi memastikan para pemandu jalan raya akan sentiasa akur dan patuh akan garis pandu dan perundangan yang ditetapkan di negara ini.