WASHINGTON, 3 JAN – Pemandu sebuah Cybertruck Tesla disahkan cedera akibat tembakan di kepala sebelum kenderaan itu meletup di luar hotel Trump di Las Vegas hingga mengorbankan satu nyawa dan mencederakan tujuh yang lain, menurut pihak berkuasa.
Syerif Clark County, Kevin McMahill mengenal pasti pemandu sebagai Matthew Livelsberger dalam satu sidang akhbar, lapor agensi Anadolu.
“Saya menganggapnya sebagai bunuh diri kerana letupan yang berlaku sejurus selepas itu. Saya tidak memberi sebarang label lain.
“Kami tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan kemungkinan individu lain terlibat dalam kes ini,” katanya.
McMahill juga mengulas laporan mengenai kemungkinan hubungan antara suspek Las Vegas dan suspek serangan di New Orleans pada awal Tahun Baharu, memaklumkan bahawa kedua-duanya pernah berkhidmat di pangkalan tentera Fort Bragg, North Carolina.
Namun, ia adalah pangkalan tentera yang sangat besar dan tiada rekod yang menunjukkan mereka berkhidmat dalam unit yang sama atau pada tahun yang sama di Fort Bragg, katanya sambil memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan. – Bernama