Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu dikritik ubah bonet jadi ‘tangki ikan’

    LIAONING, CHINA, 23 JULAI – Seorang lelaki warga China baru-baru ini mencetuskan kemarahan pencinta haiwan selepas mempamerkan hiasan bonet kereta luar biasa yang menampilkan ikan hidup dan krustasea.

    Pemilik sebuah SUV mewah, Li Auto L9 dari Liaoning, China, didakwa melakukan kekejaman terhadap haiwan selepas menukar lapisan plastik lut sinar pada hud keretanya menjadi akuarium mudah alih yang penuh dengan ikan dan ketam besar.

    Menonton video tular Douyin (TikTok) kereta lelaki itu buat kali pertama, awda pasti cenderung menganggap ia dijana kecerdasan buatan, tetapi beberapa saluran berita China telah mengesahkan bahawa ia adalah perkara sebenar.

    Menurut laporan Oddity Central, lelaki yang mencipta idea unik itu malah ditemu bual tentang ciptaannya yang pelik dan berkata bahawa dia menciptanya semasa aktiviti memancing apabila dia terlupa membawa bekas untuk ikan.

    Dia melihat lapisan plastik lut sinar pada bonet kederaan SUVnya dan berfikir bahawa dia boleh menyimpan ikan-ikan di sana.

    Kereta yang diubahsuai dengan bonet dipenuhi ikan dan ketam hidup tular di media sosial China. – Agensi

    Menyedari bahawa SUVnya menampilkan kompartmen berasingan antara balutan vinil dan filem pelindung TPU (poliuretana termoplastik) pada bonet, pemandu licik itu memutuskan untuk mengisi ruang dengan air dan memasukkan tangkapan hari itu di sana.

    Bonet keretanya mula menarik perhatian sebaik dia kembali ke bandar dan video mengenainya mula tular di media sosial.

    Walaupun pemilik kereta itu dilaporkan kelihatan bangga dengan ideanya serta perhatian yang diterima, reaksi umum adalah bersifat kritikal, dengan sesetengah pihak menuduhnya melakukan kekejaman terhadap haiwan.

    Orang ramai menegaskan bahawa akuarium DIY terletak betul-betul di atas motor, boleh menyebabkan air menjadi terlalu panas, manakala yang lain bimbang tentang ruang sempit untuk haiwan marin itu hidup.

    Perhatian meluas yang diterima oleh kende-raan Li Auto L9 yang diubah suai di media sosial sejak beberapa hari lalu turut menarik perhatian polis trafik Liaoning, yang menganggap kereta lelaki itu tidak sesuai untuk dipandu di jalan awam dalam keadaan diubah suai.

    Tidak jelas sama ada lelaki itu didenda atas aksinya, tetapi polis memberi amaran kepada pemandu bahawa bonet kereta akuarium adalah menyalahi undang-undang. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda