SIBU, 26 JULAI – Seorang pemandu e-panggilan kerugian RM78,950.65 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan phone scam Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata dalam laporan yang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu semalam, lelaki berusia 40-an itu mendakwa beliau telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis di Bukit Aman.
Beliau berkata suspek memberitahu bahawa akaun bank mangsa telah digunakan oleh orang yang tidak dikenali untuk jenayah pengubahan wang haram dan mangsa kemudian diminta menyerahkan maklumat peribadi serta perbankannya untuk tujuan semakan.
“Suspek memberitahu akaun mangsa didapati terlibat dalam kes jenayah dan memintanya membuat pindahan wang di dalam akaun itu ke satu akaun lain.
“Suspek juga berjanji akan me-mulangkan wang itu semula selepas kes selesai,” katanya.
Zulkipli berkata mangsa yang bimbang dan takut telah melakukan tiga transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank tempatan yang tidak diketahui pada 24 dan 25 Julai berjumlah RM78,950.65. – Bernama
