KOTA KINABALU, 3 Nov – Pemandu lori di Sabah diingatkan supaya tidak membawa muatan berlebihan kerana ia akan menyebabkan berlaku kerosakan jalan raya selain dikhuatiri mengundang bahaya dan menjejaskan keselamatan awam, kata Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Bobbey Suan.
Bobbey tidak menafikan lori melebihi muatan khususnya yang membawa kelapa sawit dan balak menjadi antara faktor kerosakan beberapa jalan raya di Sabah dan perkara itu harus dibendung dengan memastikan setiap pemandu lori mematuhi peraturan had muatan ditetapkan pihak berkuasa.
“Peraturan ditetapkan (pihak berkuasa perlu sentiasa dipatuhi) bagi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelaksanaan Buku Log Pemandu Bas kawasan pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah Datuk Raime Unggi. Bobbey berkata kementeriannya akan sentiasa memantau dan mengenal pasti mana-mana jalan raya khususnya di kawasan luar bandar yang mengalami kerosakan dan memerlukan pembaikan. – Bernama