Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kelmarin, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga gagal mengawal kenderaannya.
Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Zulfaridzan bin Hussein, 40, yang didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Jalan Utama Berakas antara 8:20 dan 8:40 malam pada 26 Jun 2018.
Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud mengemukakan dakwaan di bawah Seksyen 26(1)(a) Akta Lalulintas Jalan Raya, Bab 68 yang membawa kepada denda $10,000 dan hukuman penjara dua tahun dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya, denda $20,000 dan empat tahun penjara.
Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof menangguhkan kes dan melepaskan tertuduh dengan ikat jamin. Kes akan disebut semula pada 17 Julai.
Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataan mengenai kes sama menyatakan bahawa suspek telah ditangkap pada 29 Jun 2018 kerana dengan sengaja melanggar sebuah kereta dan mencederakan dua orang.

Siasatan mendapati suspek sedang mengekori kereta mangsa dengan laju di lorong sebelah kanan.
Apabila mangsa hendak mengambil lorong sebelah kiri, suspek terus melanggar kereta mangsa dari belakang.
Tidak lama kemudian, rakan mangsa datang dan cuba membantu, namun dipukul oleh suspek.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala, dan menerima rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Pasukan polis dalam kenyataannya mengingatkan orang ramai untuk tidak sesekali melakukan tindakan secara melulu dan membuat justifikasi sendiri.
Undang-undang negara mesti dipatuhi dan perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang lebih professional.