BINTULU, 15 SEPT – Seorang pemandu maut manakala empat lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di Pantai Tanjung Batu menghala ke Pantai ABF, Kidurong, semalam.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Ansam Maja, 39, ditemukan tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduk pemandu sebuah Proton Persona.
“Pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum beliau disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan, kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Empat mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba di lokasi, dan hanya mengalami kecederaan di kepala serta kaki,” menurut kenyataan itu. – Bernama


