Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu pelancong dekati flora, fauna

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seramai 24 orang pemandu pelancong yang berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan berpeluang mengenali lebih dekat mengenai flora dan fauna melalui sesi latihan yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di sini, latihan selama dua sesi berkenaan telah dikendalikan dengan kerjasama UBD.

    Pusat Penyelidikan Botani UBD adalah taman botani yang pertama ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam di mana taman berkenaan merangkumi kaedah rumah hijau, sarang lebah dan pelbagai flora dan fauna yang lain.

    Sesi latihan itu merupakan salah satu inisiatif jabatan khusus bagi pemandu-pemandu pelancong supaya dapat menimba ilmu pengetahuan dan meningkatkan lagi daya kesedaran dan pemahaman dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih.

    Dalam latihan itu, pemandu pelancongan telah diberikan penerangan mengenai peranan penting yang dimainkan oleh tumbuhan dalam kehidupan seharian termasuk penyumbang kepada ekosistem dan cara-cara untuk memelihara biodiversiti negara dalam menghargai keindahan semula jadi Brunei.

    Pemandu-pemandu pelancong juga telah mengikuti beberapa aktiviti yang terdiri daripada penanaman semula tumbuhan dan pemidahan tumbuhan serta berpeluang merasai madu lebah yang terdapat di taman berkenaan.

    Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh pensyarah-pensyarah dan pelajar UBD dan ia diharap dapat diguna pakai oleh para pemandu pelancong semasa memberikan perkhidmatan pemanduan bagi pelancong yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan menyatakan adalah penting bagi memastikan setiap pemandu pelancong yang berlesen untuk memainkan peranan dalam memastikan maklumat yang hendak disampaikan adalah tepat dan mudah difahami.

    Melalui perkhidmatan yang kompeten dan profesional setentunya akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang diberikan selain menjana kualiti dan imej pelancongan negara ini.

    Pemandu pelancong diberikan penerangan semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    Pemandu pelancong bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda