LIMA, 12 MAC – Seorang pemandu pelancong Peru maut disambar petir dan enam warga Perancis cedera semasa mendaki gunung Vinicunca yang berwarna-warni, kawasan tumpuan pelancong di tengah Andes, kata polis kelmarin.
Gunung itu, salah satu tapak paling ikonik di Peru bersama-sama dengan Machu Picchu, telah menjadi tarikan utama dalam dekad yang lalu, kerana suhu pemanasan telah mencairkan penutup glasiernya dan mendedahkan warnanya.
Polis berkata dalam satu kenyataan, sambaran petir pada petang Ahad telah menyebabkan pelancong Perancis, berusia 22 hingga 40 tahun, ‘melecur dan cedera’.
Mereka telah dimasukkan ke hospital di bandar Cusco.
Gunung Vinicunca, juga dikenali sebagai gunung pelangi atau gunung tujuh warna, mempunyai warna yang berbeza berjalur merentasi cerunnya, hasil daripada pengumpulan sedimen selama jutaan tahun. – AFP


