Wednesday, July 23, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu rempuh orang ramai bakal dipenjara seumur hidup

    LOS ANGELES, 23 JULAI – Seorang lelaki yang merempuh orang ramai di luar kelab malam hujung minggu lalu didakwa dengan 37 pertuduhan cubaan membunuh.

    Tertuduh, Fernando Ramirez, didakwa sengaja memandu kenderaannya dan melanggar orang ramai di luar sebuah kelab mengakibatkan 37 orang cedera, termasuk lapan mangsa mengalami kecederaan parah, kata Pendakwa Raya Daerah Los Angeles, Nathan Hochman.

    “Apabila dia memandu ke arah kaki lima itu, dia sengaja mensasarkan kepada kumpulan manusia,” ujar Hochman ketika mengumumkan pendakwaan.

    Ketua Polis Los Angeles, Jim McDonnell, menyifatkan kejadian itu sebagai satu keajaiban kerana tiada kematian berlaku. Seramai 23 mangsa insiden tersebut telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Ramirez turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes pukul dan keganasan geng pada 2014, serta sabitan serangan terhadap seorang lelaki kulit hitam di sebuah pasar raya pada 2019 yang diklasifikasikan sebagai jenayah kebencian.

    Beliau juga menghadapi pertuduhan keganasan rumah tangga pada 2021 dan satu lagi kes memandu dalam keadaan mabuk pada 2024 yang masih menunggu perbicaraan.

    “Ramirez terbukti sering bertindak ganas terhadap orang asing mahupun keluarganya sendiri dan jelas tidak mengendahkan keselamatan orang lain,” kata pihak pendakwa dalam dokumen mahkamah berkaitan kes 2019.  – AP

    Kenderaan yang digunakan Ramirez untuk merempuh orang ramai dalam kejadian berkenaan. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda