Tuesday, July 22, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu rempuh orang ramai di kelab malam didakwa

    LOS ANGELES, 20 JULAI — Seorang pemandu telah didakwa atas kesalahan menyerang orang awam selepas merempuh sekumpulan orang ramai di luar sebuah kelab malam di Hollywood awal pagi kelmarin, menyebabkan 30 individu cedera, menurut pihak polis.

    Dalam insiden tersebut, orang awam turut menyerang dan menembak pemandu itu sebelum dia ditahan pihak berkuasa.

    Suspek dikenali sebagai Fernando Ramirez, 29 tahun, telah didakwa atas tuduhan menyerang menggunakan senjata berbahaya, kata jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Rosario Cervantes, kepada AFP.

    Ramirez dilaporkan sedang menjalani pembedahan di sebuah hospital tempatan selepas mengalami kecederaan tembakan dalam kejadian itu.

    “Dia tidak dibenarkan keluar, dia kini berada dalam tahanan LAPD,” kata Komander LAPD, Lillian Carranza, kepada stesen berita tempatan KCAL.

    Gambar menunjukkan kenderaan yang digunakan untuk merempuh sekumpulan orang awam yang beratur ketika hendak memasuki kelab malam di sepanjang jalan di Los Angeles pada 19 Julai. – AP

    Media Amerika melaporkan bahawa Ramirez telah diusir dari kelab malam The Vermont Hollywood di East Hollywood sebelum dia dengan sengaja merempuh orang ramai menggunakan kenderaannya.

    Berdasarkan rakaman video kejadian, “apabila dia melanggar orang awam, ia adalah tindakan yang disengajakan,” kata Kapten LAPD, Ben Fernandes, seperti yang dipetik oleh Los Angeles Times.

    Orang ramai telah menarik Ramirez keluar dari keretanya, dipercayai sebuah sedan jenis Nissan Versa dan menyerangnya sejurus selepas rempuhan yang berlaku kira-kira jam 2 pagi, jelas pihak polis.

    Pihak berkuasa masih mencari seorang individu bersenjata yang menembak dan mencederakan pemandu berkenaan sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki, menurut Cervantes.

    Rakaman yang dimuat naik di media sosial memaparkan suasana panik dengan orang ramai berlari keluar dari kelab tersebut, ada mangsa yang terbaring di kaki lima yang berlumuran darah, manakala individu lain dilihat menangis berhampiran tempat kejadian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda