Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu rempuh tembok tokong beri penjelasan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Pemandu kereta yang merempuh tembok konkrit Tokong Teng Yun di ibu negara pada pukul 5 petang Isnin lalu telah tampil menolak tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

    Pada sidang media di tokong berkenaan, kelmarin, Dayang Rezawaty mengimbas kembali bagaimana kejadian berkenaan berlaku.

    “Saya memandu ke arah bandar selepas mengambil anak perempuan yang berumur sembilan tahun dari sekolah dan semasa di jalan menuju ke Kianggeh, sebuah van di lorong kiri tiba-tiba melanggar kereta saya dan telah menyebabkan kenderaan berpusing ke kanan,” jelasnya.

    Beliau menambah, ia boleh dilihat dalam gambar tular di mana sebelah kiri keretanya mengalami kerosakan.

    “Dalam keadaan panik, saya ingin menekan brek tetapi sebaliknya saya tertekan pedal minyak dan kenderaan yang dipandu terbabas ke tepi jalan yang kemudian merempuh tembok konkrit tokong berkenaan,” kongsinya.

    Dalam kejadian itu, beliau mengalami luka kecil di bibir manakala anak perempuannya mengalami lebam di perut.

    “Tidak ada niat jahat dan ia tidak disengajakan, ia benar-benar satu kemalangan yang malang,” tegasnya.

    Pengerusi Tokong Teng Yun, Lee Eng Ching dan Timbalan Pengerusi, Tiah Eng Beng serta ahli jawatankuasa eksekutif lain hadir pada sidang media itu.

    Tokong Teng Yun akan menanggung kos pembaikan tembok yang telah pun bermula dan akan siap sebelum Tahun Baharu Cina.

    Kelihatan sebuah kereta yang merempuh tembok konkrit Tokong Teng Yun baru-baru ini. – GAMBAR FAIL OLEH JAMES KON
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda