PARIS, 20 MEI – Pemandu teksi membakar palet kayu dan tayar di tengah Paris kelmarin dan polis melepaskan gas pemedih mata berikutan bantahan di seluruh negara itu terhadap tindakan mengurangkan tambang mereka untuk membawa penumpang yang sakit.
Hampir 1,000 teksi menyekat jalan raya di ibu negara dan polis berkata 64 orang telah ditahan. Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kira-kira 250 pemandu yang berjalan kaki dan cuba merempuh pagar keselamatan.
Satu lagi kumpulan cuba keluar dan menuju ke pejabat Perdana Menteri, tetapi berjaya dihalang.
Bantahan itu menyaksikan beberapa buah kereta menghalang jalan raya dari kawasan Saint-German di ibu negara dan jalan-jalan bersebelahan.
Para pemandu telah mengadu tambang yang lebih rendah untuk membawa penumpang yang disahkan sakit akan mengurangkan pendapatan mereka lebih daripada satu perempat.
Kerajaan Perancis, di bawah tekanan untuk mengawal kos perubatan yang melambung tinggi, mengarahkan pembaharuan itu minggu lalu yang akan berkuat kuasa mulai Oktober.
Tahun lepas, sistem tambang bersubsidi untuk teksi yang membawa pesakit menelan belanja tiga bilion euro di Perancis.
Teksi di bandar-bandar lain Perancis mengadakan protes penangguhan kerja, termasuk di Montpellier dan Amiens. – AFP
