TOKYO, 22 MEI – Polis Jepun hari ini berkata mereka telah menahan seorang bekas pemandu teksi atas dakwaan meracun dan merogol seorang penumpang wanita, dengan laporan media menyebut bahawa mungkin terdapat puluhan lagi mangsa lain.
Akhbar harian Yomiuri Shimbun dan agensi Jiji Press melaporkan bahawa polis menemui kira-kira 3,000 video dan imej lelaki itu melakukan serangan seksual ke atas sekitar 50 wanita sama ada di dalam teksinya atau di rumahnya.
Tahun lalu, lelaki tersebut memujuk seorang wanita, yang ketika itu berusia dalam lingkungan 20an, untuk mengambil pil tidur yang menyebabkannya tidak sedarkan diri, kemudian membawanya ke rumah dan melakukan perbuatan tidak senonoh, yang turut dirakam,” kata seorang jurucakap polis Tokyo kepada AFP.
Polis menahan lelaki berusia 54 tahun itu kelmarin atas ‘syak wasangka melakukan hubungan seksual tanpa persetujuan dan melanggar undang-undang berkaitan hukuman penggambaran bahagian sulit,’ tambah jurucakap itu tanpa memberikan maklumat lanjut.
Laporan media menyatakan bahawa kesan pil tidur turut dikesan dalam rambut mangsa.
Rakaman yang ditemui dalam telefon dan peranti lain milik suspek dipercayai bermula sejak tahun 2008, menurut laporan tersebut.
Media juga melaporkan bahawa lelaki itu pernah ditahan pada Oktober lalu atas dakwaan meracuni seorang wanita lain dan merompaknya sebanyak 40,000 yen (sekitar AS$280).
Dia kemudiannya dibebaskan sebelum ditahan semula pada Disember atas dakwaan melakukan serangan tidak senonoh, menurut laporan. – AFP
