Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu temui anak damit di perhentian bas

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Seorang pemandu terkejut apabila mendapati bungkusan yang ditemui di atas bangku sebuah perhentian bas di Jalan Pasir Berakas, Kampung Lambak Kanan mengandungi anak damit perempuan yang masih hidup dengan tali pusat masih lagi ada padanya, kelmarin.

    Insiden itu berlaku pada jam 11:50 pagi selepas penunggang motosikal itu berhenti memeriksa bungkusan yang ditinggalkan dan mendapati anak damit diselimuti tuala yang sedang nyenyak tidur.

    Beliau segera menghubungi talian kecemasan dan anggota polis dari Balai Polis Berakas dan anggota Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera berkejar ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

    Anak damit tersebut kemudian dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) oleh paramedik dan kini ditempatkan di wad khas Unit Penjagaan Anak Damit (SCBU) bagi pemantauan lanjut. Anak damit seberat 3.02kg itu bagaimanapun dalam keadaan yang sihat dan stabil.

    Kes itu juga kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak bagi siasatan lanjut.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut, bolehlah menghubungi talian kecemasan 993 atau menghubungi talian 2459500 sambungan 490, 333 atau melaporkannya di mana-mana balai polis berdekatan.

    Perhentian bas di Jalan Pasir Berakas di mana anak damit itu ditemui. – Gambar serahan PPDB

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda