Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu Uber Taiwan adakan bantahan

    TAIPEI, 10 Feb – Pemandu-pemandu Uber membuat bantahan di sekeliling kementerian pengangkutan Taiwan hari ini apabila syarikat aplikasi menumpangkan orang awam itu menghentikan operasi di pulau berikutan satu kemelut dengan pihak kerajaan yang menganggap perkhidmatan itu sebagai sesuatu yang menyalahi undang-undang.

    Firma AS itu mengumumkan minggu lepas ia akan menghentikan perniagaannya di Taiwan bermula hari ini selepas pihak kerajaan meningkatkan denda maksimum buat pemandu-pemandu Uber kepada Tw$25 juta (AS$804,000), nilai tertinggi di dunia.

    Kementerian Pengangkutan minggu lepas menyatakan ia bersedia untuk mendenda firma itu dengan nila Tw$230 juta.

    Uber telah sekian lama dikenakan denda kerana menjalankan perniagaan tanpa pendaftaran yang betul untuk mengendalikan perkhidmatan teksi sejak ia memasuki pasaran Taiwan pada 2013.

    Kira-kira 200 buah kereta, dihiasi dengan reben dan pelekat Uber, memandu mengelilingi kementerian pengangkutan di pusat bandar Taipei, menurut persekutuan pemandu yang menganjurkan bantahan itu.

    Pemandu-pemandu Uber di Taiwan mengadakan bantahan di depan bangunan Kementerian Pengangkutan negara itu. – AFP
    Pemandu-pemandu Uber di Taiwan mengadakan bantahan di depan bangunan Kementerian Pengangkutan negara itu. – AFP

    Seorang ibu tunggal Fiona Yang, 38, berkata Uber telah menjadi sumber pendapatan utamanya bagi tempoh dua tahun kebelakangan bagi menampung perbelanjaan harian dan dua orang anaknya.

    “Saya memahami kenapa mereka menghentikan operasi. Namun denda yang diberikan tidak masuk akal,” dia memberitahu AFP.

    “Ia memberikan impak yang besar kepada saya. Bagaimanakah saya hendak membesarkan anak-anak saya?”

    Uber minggu lepas menyatakan ia berharap penggantungan itu akan mendorong tindakan daripada Presiden Tsai Ing-wen, yang kini mendorong negara itu untuk memupuk sendiri nilai “Asian Silicon Valley” mereka.

    “Persekitaran peraturan ketika ini membuatkan ia mustahil menjalankan perniagaan di pulau ini seperti mana yang kami mahukan,” menurut firma itu dalam satu keterangan.

    Penggantungan perkhidmatan di Taiwan tiba selepas Uber menghentikan perkhidmatannya di Hungary pada Julai tahun lepas disebabkan undang-undang baru yang menghalang para pemandu untuk menjalankan perniagaan menggunakan kereta mereka sendiri.

    Aplikasi telefon pintar itu telah berdepan tentangan sengit daripada pemandu-pemandu teksi tradisional di seluruh dunia, dan juga pengharaman di beberapa tempat mengenai kebimbangan keselamatan dan persoalan mengenai isu undang-undang termasuk cukai.

    Uber menegaskan ia merupakan platform bagi menghubungkan para pemandu dan penumpang, bukannya perniagaan pengangkutan seperti firma-firma teksi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda