Friday, April 18, 2025
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu wanita 78 tahun rempuh hentian bas ditahan

    SAN FRANCISCO, 19 MAC – Seorang wanita berusia 78 tahun telah ditahan berkaitan dengan kemalangan maut di sebuah perhentian bas di San Francisco yang mengorbankan dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak serta mencederakan seorang anak damit yang masih dirawat di hospital, kata polis kelmarin.

    Mary Fong Lau, dari San Francisco, telah dipenjarakan pada Ahad dan kekal dalam tahanan kelmarin, menurut rekod penjara.

    Pegawai penjara kelmarin berkata Lau masih belum hadir ke mahkamah.

    Tidak diketahui sama ada dia mempunyai peguam yang boleh mewakili bagi pihaknya.

    Lau dituduh dengan tiga tuduhan pembunuhan kenderaan bermotor gred berat, memandu secara cuai yang menyebabkan kecederaan badan dan pelanggaran trafik tambahan, menurut kenyataan Jabatan Polis San Francisco.

    Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak maut di tempat kejadian selepas sebuah SUV Mercedes merempuh sebuah perhentian bas petang Sabtu di kejiranan West Portal di bandar itu, kata polis. Tiga lagi, termasuk Lau, telah dibawa ke hospital.

    Mangsa ketiga, seorang wanita, kemudian meninggal dunia di hospital, kata polis. Anak damit itu masih berada di hospital dengan kecederaan serius, kata polis. – AP

    Kawasan sekitar perhentian bas berhampiran Stesen West Portal Muni dipagar selepas insiden rempuhan tersebut. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda