Wednesday, July 23, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemanggil beritahu 999: ‘Kami yakin darah keluar dari beg pakaian’

    LONDON, 22 JULAI – Dalam panggilan yang dibuat ke talian kecemasan United Kingdom 999, pemanggil kedengaran berkata ‘kami yakin itu darah’ selepas seorang pembunuh membawa beg pakaian mengandungi bahagian tubuh dua lelaki yang dikerat ke Jambatan Gantung Clifton, lapor PA Media/dpa.
     
    Yostin Andres Mosquera, 35, membunuh pasangan sejenis, Albert Alfonso, 62, dan Paul Longworth, 71, pada 8 Julai tahun lalu di pangsapuri mereka di Scotts Road, Shepherd’s Bush, barat London.
     
    Mosquera, yang turut tinggal bersama pasangan itu, ‘memenggal dan mengerat’ mayat mereka, membekukan sebahagian anggota tubuh dan membawa selebihnya dalam beg pakaian ke Jambatan Gantung Clifton di Bristol, menurut pihak pendakwaan.
     
    Juri di Mahkamah Woolwich Crown kelmarin mendapati Mosquera bersalah atas tuduhan membunuh kedua-dua mangsa.
     
    Polis Avon dan Somerset menerima panggilan ke lokasi mercu tanda itu sebelum tengah malam 10 Julai lalu, selepas kakitangan jambatan berasa curiga.
     
    Gambar Freepik
    Ketika itu, mereka sedang membantu seorang wanita dalam krisis apabila terlihat Mosquera membawa dua beg besar di hujung jambatan sebelah Leigh Woods.
     
    Mosquera memberitahu mereka beg pakaian besar berwarna merah dan perak itu mengandungi alat ganti kereta dan cecair yang menitis daripadanya adalah minyak.
     
    Seorang penunggang basikal yang mencurigai Mosquera kemudian mengejarnya dengan berani sambil merakam menggunakan telefon selepas Mosquera melarikan diri menuruni bukit.
     
    Rakaman panggilan 999 yang dikeluarkan pihak berkuasa itu memperdengarkan pemanggil berkata, ‘kami yakin itu darah’ mengenai beg berkenaan dan Mosquera ‘tidak mahu membuka beg itu’. Pemanggil itu berkata, ‘kami rasa polis perlu segera datang ke sini’.
     
    Katanya, seorang lelaki dilihat ‘menyeret beg’ dan tidak boleh berbahasa Inggeris, jadi seorang penunggang basikal yang kebetulan fasih berbahasa Sepanyol membantu berkomunikasi. Menurutnya, Mosquera memberitahu beg itu mengandungi alat ganti kereta. Pemanggil turut memberikan butiran fizikal Mosquera kepada pihak kecemasan.
     
    Polis yang tiba di lokasi kemudian membuka beg pakaian tersebut dan menemukan bahagian tubuh mangsa, Alfonso dan Longworth, termasuk batang tubuh dan anggota badan lain. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda