Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemangkin masa depan lebih cerah

    LABUAN, 14 Jan – Keputusan kerajaan persekutuan meluluskan kajian kemungkinan tekno-ekonomi terhadap cadangan pembinaan Labuan-Menumbok baru-baru ini dilihat menjadi pemangkin baharu ke arah mewujudkan masa depan lebih cerah untuk penduduk pulau bebas cukai ini.

    Kajian melibatkan kos RM14.31 juta, itu, yang akan menentukan kemungkinan dari segi teknikal dan penilaian ekonomi projek berkenaan, merupakan petanda positif berhubung pelaksanaannya.

    Banyak pihak percaya pembinaan jambatan yang sudah lama ditunggu-tunggu bagi menghubungkan tanah besar Sabah dan Labuan itu akan terus membawa transformasi dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di pulau ini.

    Ketika mengesahkan tentang pelaksanaan cadangan projek itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU), berkata cadangan berkenaan akhirnya akan terlaksana hasil sokongan kerajaan Sabah dan persekutuan.

    Hasil kesimpulan yang dibuat daripada pelbagai kenyataan oleh ahli ekonomi, pemimpin politik dan Gabenor Bank Negara, kerajaan persekutuan mengenal pasti bahawa cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah melalui Menumbok itu sebagai pemboleh utama pembangunan ekonomi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi pulau ini dan kawasan sekitarnya.

    Ketika menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan Industri Labuan 2017, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim berkata: “Sama seperti ekonomi pulau lain, prospek pertumbuhan Labuan amat banyak dipengaruhi kewujudan infrastruktur keras dan lembut yang merupakan pemboleh penting bagi ketersambungan lebih baik.

    “Ketersambungan juga merupakan suatu keperluan penting. Oleh kerana Labuan juga boleh dianggap sebagai ‘titik pertengahan’ antara pelancongan di Sabah dan Sarawak, tempoh perjalanan berpotensi akan dapat dikurangkan dengan wujudnya hubungan secara fizikal antara pulau ini dengan tanah besar Sabah,” katanya.

    Sentimen sama dikongsi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar ketika menghadiri Siri Syarahan Kewangan Antarabangsa Labuan lepas apabila beliau berkata bahawa ketersambungan adalah penting bagi daya saing Labuan.

    Seperti kata Muhammad, usaha itu bagaimanapun memerlukan pelaburan tambahan bagi ‘infrastruktur keras dan lembut’ untuk meningkatkan ketersambungan pulau ini ke tahap yang setanding dengan pusat kewangan antarabangsa utama dunia, sejajar dengan status Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa Malaysia.

    Dalam kenyataannya, Abdul Rahman berkata cadangan jambatan itu akan disenaraikan sebagai agenda utama (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta.

    “Idea (pembinaan jambatan) itu bukan perkara baharu, tetapi sudah lama dicadangkan. Saya berpendapat masanya sudah tiba bagi kita untuk melihat kajian kemungkinan mengenainya dilaksanakan serta meneruskan usaha kami untuk membuat keputusan tentang pembinaan jambatan itu,” kata beliau.

    Menurutnya, cadangan pembinaan itu juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan Labuan sebagai sebuah bandar raya pintar dan lestari dengan kepelbagaian ekonomi menjelang 2030.

    Sementara itu, anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata: “Kami tetap ingin memberi penekanan tentang idea pembinaan jambatan berkenaan kerana pembinaannya bukan sahaja akan menambah baik ekonomi pulau ini, tetapi juga melonjakkan pembangunan ekonomi kawasan sekitarnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda