BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Pemangku Penolong Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof hari ini bertolak ke Kuching, Sarawak bagi menghadiri Nadwah Ulama Nusantara (NUN) ke-8.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, persidangan tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober di Hotel Riverside Majestic dan Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Kuching bertemakan ‘Sinergi Ulama dalam Pemerkasaan Ummah’ di mana beliau juga membentangkan kertas kerja.
Mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Pemangku Ketua Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Abdul Rahman bin Pengarah Haji Mokti.
Nadwah Ulama Nusantara bertujuan menyediakan wadah untuk para ilmuwan dan agamawan Islam membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan akidah, dakwah, sosial, epistemologi, perundangan, ekonomi, sains dan teknologi. Ia juga menyediakan gagasan dan saranan untuk menangani masalah dan cabaran semasa dalam masyarakat Islam di Nusantara amnya dan Sarawak khususnya.
