Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemanjat cilik dinding batuan curi perhatian ramai

    ALOR SETAR – Aksi tangkas dan mendebarkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun bergayut pada dinding batuan setinggi 15 meter mencuri perhatian orang ramai yang berkunjung di Keriang Xtreme Park di Gunung Keriang, di sini.

    Walaupun saiz tangan dan tubuh badannya masih kecil, Julia Chua Hui Xi yang berasal dari sini mampu bergerak dari satu sudut ke satu sudut dinding batuan itu dengan cukup mudah bagaikan atlet sukan berpengalaman.

    “Takut juga pada mulanya, tetapi ia menyeronokkan dan saya menikmati pemandangan,” katanya ketika ditanya media mengenai perasaannya terhadap sukan memanjat dinding berbatu atau ‘rock-climbing’, di sini baru-baru ini.

    Julia berkata, minat terhadap sukan ekstrem itu bermula sejak beberapa tahun lepas dan didorong oleh ibu bapanya yang turut menjadikan rock-climbing di taman rekreasi itu sebagai aktiviti wajib pada setiap minggu.

    Ibunya, Simone Chan Sze Mun, 36, berkata selain Julia, dua anaknya yang lain, Felix Chua Zhen Qianx, 7, dan Max Ezekiel Chua, 4, turut didedahkan dengan sukan itu yang menurutnya bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan mereka sekeluarga tetapi juga menerapkan nilai dan keperibadian dalam diri anak-anaknya.

    “Aktiviti ini mengajar banyak nilai murni, kemahiran untuk menyelesaikan masalah bagaimana untuk memanjat di laluan, serta mengatasi ketakutan dengan berani mencabar diri,” katanya.

    Sementara itu, Julia yang pernah menyertai beberapa pertandingan memanjat dinding atau ‘wall-climbing’ pada tahun lepas turut mendapatkan latihan dengan jurulatih sukan itu, Mohamad Zamri Hamid di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di sini.

    Menurut Mohamad Zamri, memandangkan sukan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, pihaknya menerusi Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah (HACCK) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah menawarkan latihan kepada kanak-kanak seawal 7 tahun.

    “Setiap peserta diajar cara menggunakan peralatan keselamatan, belajar membuat ikatan dan simpulan tali yang betul serta kemahiran untuk survival serta kepercayaan kepada individu yang memegang tali dari bawah,” katanya.

    “Sukan wall-climbing dan rock-climbing menggunakan tali sebenarnya selamat jika mereka yang menceburi kegiatan lasak itu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya. – Bernama

    Aksi tangkas dan mendebarkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun bergayut pada dinding batuan setinggi 15 meter mencuri perhatian orang ramai yang berkunjung di Keriang Xtreme Park di Gunung Keriang, di sini. – Bernama
    Jurulatih Sukan Mendaki Negeri Kedah, Mohamad Zamri Hamid ketika sesi latihan bersama Julia Chua (kanan) dan Dhiya Suffiya Mohamad Zamri (kiri). – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda