Oleh Izzah Azahari, Daniel Lim & Yusrin Junaidi
Gambar oleh KHEDN
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Majlis pemantauan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 73 Kali Khatam ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi seluruh negara telah diadakan secara serentak di keempat-empat daerah selepas sembahyang Fardu Asar berjemaah, kelmarin.
Majlis pemantauan berkenaan adalah kesinambungan daripada majlis pelancaran memulakan bacaan pada 2 Mei lalu di keempat-empat daerah sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 bagi 2019.
Secara keseluruhannya, seramai 1,708 orang menyertai majlis berkenaan yang terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis (berumur 13 tahun hingga 20 tahun) yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut sekolah seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan, penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja, kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, agama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun.
Di Daerah Temburong, majlis pemantauan telah diadakan di Masjid Utama Mohamad Salleh di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Di Daerah Tutong, majlis berlangsung di Masjid RPN Bukit Beruang dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Muhammad Yusof.
Di Daerah Brunei dan Muara, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.
Sementara itu di Daerah Belait, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kese-jahteraan dan Undang-undang) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pemantauan bagi seramai 412 orang peserta di Masjid Muhammad Jamalul Alam.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai secara persendirian.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa khusus bagi memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia dan sihat walafiat serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah SWT.


