PAPAR, 26 OGOS – Pejabat Daerah Papar akan menjalankan pemantauan berkala terhadap aktiviti penternakan dan pertanian di daerah itu bagi memastikan masalah bekalan air berbau busuk seperti yang berlaku baru-baru ini tidak berulang.
Pegawai Daerah Papar Hadzlan Jablee berkata pemantauan berkala itu akan dijalankan dengan kerjasama beberapa jabatan kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar; Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan. Beliau berkata bekalan air berbau busuk, yang menghantui penduduk Papar pada Ahad serta Isnin lepas, adalah kejadian pertama seumpamanya di daerah itu, dan pihaknya telah mengenal pasti berlaku pencemaran sungai disebabkan oleh kandungan sulfer yang tinggi.
