Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemasangan panel solar meningkat

    SEPANG, 14 FEB – Inisiatif pemasangan panel solar di kawasan kediaman di seluruh negara ketika ini menunjukkan trend peningkatan, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata trend positif itu membuatkan kerajaan membuka kuota permohonan untuk pemilik kediaman memasang panel solar di kediaman masing-masing tahun ini melalui Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

    “Di peringkat kerajaan, kita lihat ada trend peningkatan pemilik kediaman pakai sistem solar (ketika ini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sistem solar Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata program NEM diteruskan dengan tawaran kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) untuk NEM Rakyat dan 300 MW untuk NEM NOVA, sebagai insiatif pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu bagi tahun ini.

    Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata tempoh tawaran kuota itu ditetapkan hingga Disember 2024 atau hingga kuota habis diagihkan atau yang mana dahulu, dan permohonan boleh dibuat bermula 5 Februari lepas melalui sistem eNEM di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), www.seda.gov.my.

    Program NEM akan membolehkan sekurang-kurangnya 25,000 pengguna elektrik domestik dan 100 pengguna kategori komersial dan industri memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan masing-masing untuk penjanaan bekalan elektrik bagi kegunaan sendiri melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV).

    Mengenai usaha pemasangan sistem solar di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Akmal Nasrullah berkata ia merupakan satu perkara positif khususnya buat industri perhotelan. – Bernama

    Pemasangan sistem solar di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA sebagai perkara positif buat industri perhotelan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda