Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemasaran vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca ditarik balik

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, memaklumkan susulan daripada laporan di akhbar-akhbar dan media mengenai penarikan balik kebenaran pemasaran vaksin COVID-19, Vaxzevria keluaran jenama AstraZeneca di negara-negara Eropah.

    Kenyataan itu menyatakan bahawa penarikan balik kebenaran pemasaran Vaxzevria di negara-negara berkenaan oleh pengilang global, AstraZeneca yang dipetik daripada laporan akhbar dan media adalah atas permintaan pengilang AstraZeneca sendiri.

    Penarikan itu adalah berdasarkan terdapatnya penurunan permintaan untuk vaksin tersebut memandangkan vaksin itu hanya mengandungi varian asal berbanding terdapatnya vaksin-vaksin yang lebih terkini di pasaran yang dapat memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap COVID-19 mengikut varian virus yang sedang beredar pada masa ini.

    Merujuk kepada laman sesawang Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA), penarikan balik itu adalah di atas permintaan pemegang kebenaran pemasaran iaitu AstraZeneca AB yang mana telah memaklumkan suruhanjaya berkenaan tentang keputusannya untuk menghentikan pemasaran produk secara kekal atas sebab-sebab komersial.

    Vaksin COVID-19, Vaxzevria yang dikeluarkan oleh AstraZeneca adalah salah satu vaksin yang diberikan kebenaran oleh Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam melalui kebenaran khas (Emergency Use Authorisation) semasa situasi pandemik COVID-19.

    Vaksin berkenaan digunakan dalam Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada 2021. Kebenaran khas itu telah mansuh pada Julai 2022 dan tidak pernah lagi diperbaharui dan seterusnya tidak lagi ada stok vaksin berkenaan di negara ini.

    Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan mengenai produk ubat dan vaksin yang dipasarkan di negara ini bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

    Untuk makluman dan pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123.

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda