Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pematuhan SOP penting semasa pembukaan fasiliti sukan luar

    Oleh Sim Y. H.

    Berikutan penurunan kes jangkitan wabak COVID-19 dan mencapai sasaran vaksinasi 70 peratus penduduk, Negara Brunei Darussalam memulakan fasa peralihan hari ini, di mana menyaksikan fasiliti sukan luar mula beroperasi dengan syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

    Berdasarkan garis panduan berkenaan, fasiliti hanya dibukakan kepada individu yang menjalani vaksinasi penuh iaitu melengkapi dua dos vaksin dan mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning sahaja.

    Semua fasiliti hendaklah beroperasi dengan kapasiti 50 peratus dalam satu masa tertakluk kepada kapasiti fasiliti dengan tempoh penggunaan tidak dihadkan, terbuka bagi sukan individu, regu atau berpasangan, sukan artistik bukan kontak dan sukan berpasukan.

    Sementara itu, acara-acara sukan dan sebarang kejohanan tidak dibenarkan, restoran, kafeteria atau kantin dibenarkan untuk beroperasi pada kadar kapasiti 50 peratus dengan perkhidmatan bufet tidak dibenarkan dan perkongsian kelengkapan dalam kumpulan masing-masing dibenarkan secara minimum dan perlu disanitasi sebelum dan selepas penggunaan.

    Bagi sukan berpasukan yang dibenarkan ialah pasukan tersebut tidak melebihi 15 orang bagi menjalani program latihan, pertukaran atau pencampuran pemain adalah dibenarkan.

    Fasiliti hanya dibukakan kepada individu yang menjalani vaksinasi penuh iaitu melengkapi dua dos vaksin dan mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning sahaja. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Bagi sukan berpasukan dibenarkan ialah pasukan tidak melebihi 15 orang bagi menjalani program latihan, pertukaran atau pencampuran pemain adalah dibenarkan.
    Pengendali fasiliti sukan perlu menyediakan pensanitasi tangan di pintu masuk dan tempat-tempat yang bersesuaian.
    Semua peralatan perlu disinfeksi sebelum, selepas dan antara tempahan berikutnya serta pengguna digalakkan membawa disinfektan sendiri. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Para pengendali fasiliti hendaklah menyediakan prosedur bagi memastikan keperluan penjarakan sosial dipatuhi di kawasan latihan atau senaman. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Manakala sukan kontak yang hanya dibenarkan bagi sesi latihan sahaja dan bukannya melibatkan sparring dan kontak secara fizikal.

    Garis panduan bagi Kesediaan Operasi Fasa Peralihan Fasa Sukan Luar berkenaan dikongsi oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

    Sementara itu, penggunaan fasiliti sukan luar hendaklah mematuhi peraturan kerajaan bagi persediaan operasi Fasa Peralihan dengan langkah-langkah yang ditetapkan hendaklah dilaksanakan.

    Bagi fasiliti sukan luar, garis panduan umum yang hendak dilaksanakan ialah pendaftaran dan rekod yang sewajarnya mestilah dibuat di pintu masuk bagi tujuan pengesanan kontak jika diperlukan dengan setiap fasiliti perlu mendaftar melalui aplikasi BruHealth di laman sesawang www.healthinfo.gov.bn/register untuk penjanaan kod QR bagi pendaftaran penggunaan.

    Pemeriksaan suhu badan hendaklah dilakukan dan pensanitasi tangan disediakan di pintu masuk dan tempat-tempat yang bersesuaian.

    Di samping itu juga, para pengguna hendaklah membawa tuala dan botol air mereka sendiri, menjaga kebersihan diri sepanjang masa seperti kerap mencuci tangan atau menggunakan pensanitasi tangan serta menggunakan pelitup muka apabila berada di kawasan yang penuh sesak, kemudahan bilik persalinan fasiliti sukan luar dibenarkan, papan tanda dan poster langkah-langkah pencegahan COVID-19 hendaklah dipaparkan serta bagi maklumat lanjut mengenai COVID-19, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.

    Garis panduan juga menyatakan pengendali fasiliti sukan hendaklah menyelenggarakan sistem tempahan dan jadual masa bagi memastikan keselamatan kakitangan dan pengguna serta jumlah maksimum pengguna hendaklah ditentukan oleh pihak fasiliti dan mestilah mengikut jumlah kapasiti sesuai dengan ruang berkenaan dalam satu masa.

    Garis panduan turut menyatakan tandas hendaklah disanitasi setiap masa, pihak fasiliti hendaklah menyediakan prosedur bagi memastikan keperluan penjarakan sosial dipatuhi di kawasan latihan atau senaman, menyediakan prosedur bagi memastikan fasiliti selamat untuk digunakan dan amalan pensanitasian dilaksanakan, semua petugas hendaklah memakai pelitup muka, semua peralatan hendaklah disinfeksi sebelum, selepas dan antara tempahan berikutnya serta pengguna digalakkan untuk membawa disinfektan sendiri sebagai perlindungan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda