Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembabitan belia dalam pembangunan, kemajuan agama, bangsa dan negara

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    GOLONGAN belia merupakan aset negara yang paling penting dalam membangun dan memajukan sesebuah agama, bangsa dan negara.

    Jatuh dan bangkitnya sesebuah negara tergantung kepada cerminan golongan belianya. Di bahu mereka letaknya tanggungjawab yang sangat besar dalam menerajui hasrat dan wawasan negara. Oleh yang demikian, penglibatan belia di negara sebagai agen perubahan negara seharusnya tidak boleh disisihkan demi untuk meraih kejayaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan Negara Zikir berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).

    Dalam melihat penglibatan belia yang telah memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara, sempena Hari Kebangsaan kali ke-34 tahun ini, Media Permata telah berkesempatan menemu ramah dua belia yang telah menempah nama sama ada di dalam dan juga luar negara iaitu Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan, 28 dan Awang Abdul Aziz bin Haji Harun, 20, yang berjaya dalam bidang masing-masing.

    Membangun bangsa berakhlak Al-Quran

    Dengan terdetiknya hati untuk melahirkan generasi celik Al-Quran di bumi Negara Zikir ini serta menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya tidak ada rakyat yang beragama Islam di negara ini yang tidak pandai membaca Al-Quran, maka salah seorang anak belia tempatan kita telah bangkit memperjuangkan pendidikan ilmu Kalam Allah ini dalam kalangan masyarakat di negara ini melalui penubuhan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Al-Huffaz Management.

    Syarikat yang ditubuhkan pada 30 April 2016 di bawah sokongan daripada pihak Pendaftaran Perniagaan dan Nama-Nama Syarikat (ROCBN), Kementerian Kewangan ini adalah milik seorang belia yang kini berusia 28 tahun iaitu Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan atau lebih dikenali sebagai Loqman atau Loqi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar ramai bersama dengan Haji Mohammad Loqman Al-Hakim dan kakitangan Syarikat Al-Huffaz Management semasa Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2017. – Gambar Infofoto

    “Tercetusnya idea untuk menubuhkan syarikat ini sememangnya wujud dari buah fikiran beberapa orang sahabat yang memberi cadangan agar saya menjalankan salah sebuah perkhidmatan keagamaan dalam pembelajaran Al-Quran kepada orang ramai, disebabkan pengalaman mengajar mengaji merupakan salah satu kegiatan yang saya ceburi sejak dulu lagi,” jelas Haji Mohammad Loqman Al-Hakim selaku Ketua Pegawai Eksekutif bagi Syarikat Al-Huffaz Management ketika mengimbas kenangan manis bersama rakan-rakan beliau.

    Dengan berbekalkan ilmu perniagaan yang telah diperolehinya semasa mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), di samping mengikuti kursus-kursus perniagaan di LiveWIRE dan juga di Darussalam Enterprise (DARe) telah banyak memberi beliau keyakinan untuk menjalankan syarikat dengan lebih bersistematik dan teratur.

    Dengan kegigihan dan semangat juang yang kuat dalam diri Haji Mohammad Loqman Al-Hakim, beliau telah bangkit memberanikan diri untuk menubuhkan Al-Huffaz Management, dengan membawa slogan ‘Melahirkan Generasi Al-Quran’ dan didukung oleh visinya ke arah ‘Zero Quran Illiterate dan Zero Islamic Finance Illiterate’ iaitu tidak ada yang buta Al-Quran dan buta kewangan Islam.

    Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat itu merupakan sebuah platform untuk orang ramai di negara ini yang berhajat untuk mencari guru Al-Quran atau Muqaddam sama ada ke rumah-rumah atau di rumah para tenaga pengajar.

    “Pada asalnya, syarikat ini menawarkan perkhidmatan majlis keagamaan ke rumah-rumah seperti Khatam Al-Quran 30 Juzuk, Tahlil dan Arwah, Doa Selamat, Majlis Pindah Rumah, Dikir dan Tausyeh dan mengaji Al-Quran. Namun lama kelamaan, sambutan masyarakat di negara ini yang memerlukan perkhidmatan guru mengajar Al-Quran semakin menggalakkan sehingga menjadikan syarikat yang menyediakan perkhidmatan pendidikan Al-Quran yang terbesar di negara ini,” ujarnya.

    Namun pada masa yang sama, beliau juga telah memberi peluang terbaik bagi para lepasan graduan yang masih mencari pekerjaan dan mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam pengajaran Al-Quran untuk menjadi tenaga pengajar ilmu Al-Quran yang bertauliah melalui pengiktirafan daripada pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

    “Meskipun pada awal kewujudan syarikat ini, hanya memiliki seramai 23 orang pelajar dengan 11 orang tenaga pengajar, namun kini sambutannya semakin memberangsangkan hampir 600 orang pelajar yang berdaftar mengikuti pembelajaran Al-Quran dengan bimbingan daripada lebih 100 orang tenaga pengajar yang bertauliah yang antaranya terdiri dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Politeknik Brunei,” jelasnya.

    Walaupun semasa memulakan syarikat berkenaan, beliau mengalami pelbagai cabaran seperti kesukaran dalam mencari tenaga pengajar yang bertauliah dan juga kurang dipercayai oleh orang ramai mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, namun akhirnya beliau telah berjaya membuktikan tahap prestasi yang sangat membanggakan agama, bangsa dan negara melalui beberapa kejayaan yang dikecapinya, antaranya terpilih sebagai penerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia semasa Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2017 dan juga menerima hadiah bagi Kategori Impak Sosial Startup Terbaik dalam Anugerah Brunei Rice Bowl Startup (BRBSA) pada November 2017.

    Haji Mohammad Loqman Al-Hakim semasa ditemui Media Permata.
    Antara salah sebuah Perkhemahan Hafazan Al-Quran sempena cuti persekolahan yang disertai oleh para belia di bawah kendalian Syarikat Al-Huffaz Management di negara ini.

    Haji Mohammad Loqman Al-Hakim, selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Al-Huffaz Management semasa menerima hadiah bagi Kategori Impak Sosial Startup Terbaik dalam Anugerah Brunei Rice Bowl Startup (BRBSA) pada November 2017. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Selain itu, beliau juga pernah menjuarai Program Cabaran Keusahawanan TAIB pada Mac 2017 dan mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Keusahawanan Belia anjuran UTB pada September 2016. Dalam pada itu, Syarikat Al-Huffaz Management juga merupakan syarikat pertama yang telah mengadakan Perkhemahan Hafazan Al-Quran sempena cuti persekolahan julung-julung kalinya di negara ini dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar dan ITQSHHB pada tahun 2016.

    “Insha-Allah saya mempunyai perancangan untuk meneruskan perjuangan perkhidmatan pembelajaran Al-Quran ini dengan melebarkan cawangan di Singapura pada masa akan datang, yang mana sememangnya adalah menjadi harapan terbesar saya untuk menjadikan syarikat ini sebuah perkhidmatan ilmu Al-Quran terbesar di dunia,” ujar Haji Mohammad Loqman Al-Hakim dengan penuh bersemangat.

    Beliau turut menambah untuk mengetengahkan bakat guru-guru tempatan dalam bidang Al-Quran ke persada dunia dengan adanya cawangan-cawangan di luar negara agar matlamat untuk melahirkan generasi celik Al-Quran di seluruh dunia dapat terwujud, di samping bertujuan untuk menyebarkan kepada dunia mengenai agama Islam yang banyak menekankan mengenai ketenangan dan pengamalan gaya hidup sihat.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru para belia agar sentiasa memberanikan diri iaitu dengan menjadikan kemahiran yang ada sebagai kekuatan untuk meningkatkan prestasi diri dan membantu masyarakat sekeliling.

    “Sentiasa memikirkan penyelesaian dalam sesuatu masalah itu adalah amat penting disemai dalam diri para belia agar segala peluang dan harapan akan sentiasa terbuka luas. Dengan kata lain, jadilah seseorang belia sebagai ‘solution provider’ kepada negara bukanlah menjadi ‘problem provider’,” jelas beliau lagi.

    “Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahi kekuatan kepada masyarakat Brunei khususnya generasi belia dalam menghadapi kehidupan yang penuh mencabar serta mampu berdikari dengan gigih demi mewujudkan Wawasan Brunei 2035 dan Negara Zikir.” ujarnya dengan penuh keikhlasan.

    Terserlahnya bakat mengharumkan negara

    Dengan terserlahnya bakat seni nyanyian yang dimiliki oleh seorang anak belia tempatan yang kini berusia 20 tahun, Awang Abdul Aziz bin Haji Harun atau lebih dikenali sebagai Aziz Harun mampu mengharumkan nama negara dalam industri muzik tanah air dan juga antarabangsa iaitu Malaysia dan Singapura.

    Menurut Aziz, lahirnya minat dalam seni nyanyian sememangnya wujud sejak beliau kecil lagi memandangkan ahli keluarga yang lain juga turut berkongsi minat yang sama, bahkan sentiasa memberi sokongan dan dorongan yang sangat positif terhadap dunia nyanyian yang diceburi.

    “Saya mula melangkah ke dalam industri muzik tanah air apabila mengikuti Pertandingan Bintang Kecil (PBK) di mana ia merupakan platform pertama saya untuk mula bergiat aktif dalam bidang nyanyian dan pertama kalinya pada tahun 2007,” jelas beliau dengan senyuman.

    Aziz Harun semasa menerima Anugerah Pelangi bagi kategori Anugerah Eksklusif yang berlangsung di Jerudong Park Amphitheatre pada tahun 2017. – Gambar oleh Aziz Idris
    Memenangi Anugerah Planet Muzik (APM) bagi kategori Kolaborasi Terbaik untuk lagu Beautiful pada tahun 2016 merupakan satu pencapaian terbesar bagi Awang Aziz Harun di atas pengiktirafan bakat seninya di industri muzik antarabangsa Malaysia dan Singapura.

    Ujar beliau lagi, walaupun kemenangan tidak menyebelahi saya setelah berkali-kali mengikuti pertandingan ini, namun beliau tetap berusaha dan sentiasa positif untuk mencari sesuatu kelainan demi untuk menyerlahkan bakatnya sehingga ketika pada tahun 2009, beliau berjaya memperolehi gelaran juara dan mula menerokai peluang dalam dunia seni nyanyian sehingga ke hari ini.

    “Genre muzik pop secara akustik adalah jenis muzik yang saya minati, namun saya juga meminati genre rap yang mungkin tidak ramai orang mengetahuinya. Kini saya telah memiliki empat buah lagu di bawah Syarikat Faithful Music yang mana lagu yang berjudul Senyum merupakan salah sebuah lagu yang menempatkan beliau ke industri muzik luar negara iaitu Malaysia, selain daripada lagu Beautiful dan Mama. Kini, lagu terbaharu yang berjudul Jangan baru sahaja dipromosikan pada penghujung tahun lepas,” jelasnya.

    Antara pencapaian terbaik yang telah beliau perolehi sepanjang berkecimpung dalam industri muzik ini ialah beliau telah menerima Anugerah Pelangi bagi kategori Anugerah Eksklusif pada tahun 2017 sebagai suatu pengiktirafan seni muzik di tanah air.

    Bukan itu sahaja, beliau juga turut menerima pengiktirafan luar negara iaitu Malaysia dan Singapura dengan memenangi Anugerah Planet Muzik (APM) bagi kategori Kolaborasi Terbaik untuk lagu Beautiful pada tahun 2016.

    Selain itu, beliau juga turut dicalonkan sebagai Artis Terbaru Terbaik dalam APM pada tahun 2015. Manakala pada tahun 2010, beliau juga pernah mewakili Negara Brunei Darussalam ke peringkat nyanyian antarabangsa di Kuching, Sarawak dengan memenangi Persembahan Terbaik.

    Di samping itu, beliau turut mengungkapkan perasaan amat bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala untuk segala kesempatan dan peluang kerana dapat mengharumkan nama Brunei sehingga dapat meningkatkan serta berkongsi bakat yang ada bersama orang ramai khususnya masyarakat di negara ini dan juga luar negara.

    “Dengan adanya saya dalam industri muzik ini, diharap ia dapat menjadi sebuah ‘bridge’ yang baik untuk menghubungkan serta mengembangkan bakat-bakat belia di tanah air dengan seni muzik di Malaysia suatu hari nanti agar mereka semakin dikenali oleh dunia luar sebagai belia yang berbakat besar,” tegasnya.

    “Saya yakin, negara kita memiliki banyak bakat-bakat belia yang terpendam, jika ia diasah dan diberi pendedahan dengan sebaik-baiknya, ia pasti akan mewujudkan sesuatu yang menakjubkan sehingga dapat bersaing dengan industri muzik antarabangsa,” ujarnya lagi.

    “Sebagai rakyat Brunei, kita harus bersyukur dan berbangga atas kemerdekaan yang telah kita capai selama 34 tahun ini dan semoga negara kita sentiasa maju jaya dalam pelbagai kegiatan termasuklah seni nyanyian demi meningkatkan pembangunan dan kemajuan negara kita yang tercinta ini. Namun apa yang penting para belia mestilah sentiasa berusaha mengejar segala impian agar menjadi kenyataan dengan bersungguh-sungguh serta menyemai sifat percaya diri dengan kebolehan yang ada tetapi haruslah realistik dan memiliki perancangan atau pilihan yang terbaik bagi menentukan hala tuju di masa akan datang.” jelas Awang Aziz lagi mengakhiri temu ramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda