Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembaca Al-Quran dinaungi payung rahmat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Bulan Ramadan adalah kesempatan yang paling berharga untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, sama ada secara bertadarus atau pun secara berseorangan lebih-lebih lagi sehingga menamatkan atau pun khatam bacaan 30 juz Al-Quran.

    “Perlu diketahui, bahawa orang-orang yang membaca Al-Quran dijanjikan ganjaran dan fadilat yang amat besar,” jelas khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Ramadan: Jangan Lepaskan Peluang Membaca Al-Quran.

    Khatib turut menekankan bahawa Rasulullah SAW dalam hadis-hadis Baginda ada menyebutkan mengenai kelebihan bagi orang-orang yang membaca Al-Quran, antaranya dinaungi dengan payung rahmat, dikelilingi para malaikat dan diturunkan Allah SWT kepadanya ketenangan dan kewaspadaan, dikurniakan hatinya dengan cahaya oleh Allah SWT dan dipelihara daripada kegelapan serta tidak bergundah hati dan terlepas daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat, kerana dia sentiasa dalam pemeliharaan dan penjagaan Allah SWT.

    Selain itu, antara kelebihan bagi orang-orang yang membaca Al-Quran itu ialah memperoleh kedudukan yang tinggi di dalam syurga dan satu huruf Al-Quran yang dibaca mendapat satu pahala.

    Khatib juga menyeru untuk merebut peluang meraih pahala dengan memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran agar dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian.

    “Oleh itu, walaupun sesibuk mana pun kita dengan urusan pekerjaan dan kehidupan kita sehari-hari, janganlah sekali-kali kita lupa ataupun tidak meluangkan masa untuk membaca Al-Quran dan bertadabbur dengannya,” tekan khatib.

    Antara kelebihan mereka yang membaca Al-Quran itu ialah memperoleh kedudukan yang tinggi di dalam syurga dan satu huruf Al-Quran yang dibaca mendapat satu pahala. – GAMBAR OLEH MOHAMMAD AZIZI BIN MOHD ALI
    GAMBAR FAIL RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda