Pembaca berita TV3 Nightline Raymond Goh dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang penyakit angin ahmar.
Berita sedih itu disampaikan oleh salah seorang kenalannya dikenali sebagai Abdullah Pak Lah menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Abdullah memaklumkan Goh kini sedang menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
“Salah seorang insan paling baik yang pernah saya kenal,” tulis Abdullah kelmarin.
Sementara itu, salah seorang rakan sekerjanya ketika di TV3 iaitu Datuk Ras Adiba Radzi turut mendoakan agar Goh cepat sembuh daripada penyakitnya itu.
“Saya adalah kumpulan pertama pembaca berita bersama Raymond Goh dan lain-lain… Apa saya boleh katakan, membaca berita adalah sesuatu yang istimewa.
“Ketika saya menulis ini, Raymond berada di ICU bertarung nyawa. Saya mohon doa semua untuknya,” tulisnya.
Goh yang mendapat gelaran suara emas mempunyai pengalaman selama 30 tahun membaca berita.
Beliau juga bertindak sebagai jurulatih untuk individu yang ingin memperbaiki kemahiran berkomunikasi. – Agensi