Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembaharuan, inovasi Malaysia buat pelabur yakin

    SINGAPURA, 2 OKT – Keyakinan pelabur jelas kembali terhadap Malaysia, dipacu hasil komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan, bekerjasama, berinovasi dan membina ekonomi yang lebih sofistikated dan inklusif, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Beliau berkata Malaysia pada hari ini jelas lebih kuat dan berdaya tahan, di samping mencatatkan kebangkitan dari segi ranking daya saing global.

    “Kemunculan semula Malaysia dalam radar kalangan pelabur global bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil perancangan yang teliti namun, Malaysia tidak akan berpuas hati dengan pencapaian yang telah dilakar. Eksport kita semakin pelbagai, dengan teknologi hijau, peranti perubatan dan perkhidmatan digital berkembang pesat sebagai tonggak pertumbuhan baharu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asia 2025 oleh Milken Institute di Singapura, hari ini.

    Beliau berkata dalam mengharungi landskap global yang semakin sukar pada masa kini, Malaysia mengamalkan pendekatan tiga serampang iaitu menerusi reformasi perindustrian, inovasi dan kekompleksan ekonomi, serta strategi hijau.

    Tengku Zafrul berkata reformasi perindustrian negara ditumpukan kepada langkah melengkapkan sektor industri menerusi usaha naik taraf atau menggantikan jentera, peralatan dan proses dengan yang baharu untuk menghadapi cabaran masa depan.

    “Melalui usaha menaik taraf industri, pendigitalan dan kemampanan, Malaysia sedang meningkatkan kecanggihan pembuatan, mempercepat penerapan teknologi dan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    “Malaysia, yang sejak sekian lama dipercayai sebagai hab pemasangan dan pengujian, kini secara proaktif meningkatkan inovasi dan kekompleksan ekonomi bagi rantaian nilai, seperti reka bentuk, pembungkusan termaju, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi semikonduktor,” katanya.

    Beliau berkata bagi pelabur, pelaksanaan reformasi perindustrian Malaysia secara berdisiplin menunjukkan tekad negara untuk mempertingkatkan rantaian nilai.

    Menurut beliau, ASEAN terus menyerlah sebagai sebuah rantau yang unik dan cemerlang  dalam mengharungi kegetiran cabaran global, dengan pertumbuhan diunjurkan pada 4.2 peratus tahun ini berbanding pertumbuhan global pada 2.8 peratus.

    Peranan ASEAN sebagai jambatan dalam dunia yang penuh pertikaian, krisis dan konflik tidak boleh dipandang remeh. ASEAN kekal sebagai satu daripada sebilangan kecil platform kuasa pertengahan yang dapat menghimpunkan Amerika Syarikat, China, India, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan Eropah untuk sama-sama bersepakat, tambah beliau. – Bernama

    Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Penggubal Dasar ASEAN mengenai Keluli, Forum Besi dan Keluli ASEAN 2025 di Menara MITI 29 September lalu. Keyakinan pelabur jelas kembali terhadap Malaysia, menurut beliau. – Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda