Monday, December 16, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembaik pulih pulihara buku sejarah

    Gambar ANN/China Daily

    BEIJING – Setiap kali Song Jing melawat sebuah muzium, dia sentiasa meluangkan masa untuk melihat bahagian buku-buku purba. Selain menghargai kebijaksanaan yang tersembunyi di dalam buku-buku bersejarah tersebut, dia memberi tumpuan terhadap cara-cara penjilidan dan dipamerkan.

    “Ini adalah kebiasaan disebabkan oleh kerja saya,” kata Song, 34, yang telah bekerja dalam bahagian pemuliharaan buku-buku purba di Perpustakaan Negara China di Beijing selama lapan tahun. Ia melibatkan mengkaji dan mendalami kaedah penjilidan unik yang belum pernah dilihat sebelum ini, sambil menilai kemahiran tukang-tukang yang mewujudkan buku-buku tersebut.

    “Awda boleh menilai kepakaran mereka daripada kehalusan konsistensi tekstur dan warna kertas,” kata Song.

    Perpustakaan Negara China mempunyai kira-kira tiga juta buku purba, yang didefinisikan sebagai manuskrip, buku dan dokumen daripada tahun sebelum 1911 di China, tahun berakhirnya kerajaan lama.

    Musim telah berganti di luar bengkel, yang terletak di tingkat satu perpustakaan, tetapi masa itu bersifat relatif bagi Song dan rakan pembaik pulih. Pekerjaan mereka diukur bukan melalui ‘tahun’ tetapi ‘kehidupan’.

    Song Jing memeriksa sehelai laman buku yang telah dipulihkan daripada dokumen kuno.
    Song membincangkan kaedah memulihkan buku kuno bersama rakan sekerjanya, Xie Jincheng.
    Sebuah manuskrip ditulis pada zaman AD 417 dari Dunhuang, wilayah Gansu merupakan sebahagian daripada koleksi dokumen kuno di Perpustakaan Kebangsaan China.
    Song Jing memulihkan ensiklopedia klasik Yongle Dadian menggunakan penyepit kecil.

    Hari demi hari, kira-kira 10 pakar terlibat sepenuhnya dalam tugas mengendalikan dan ‘menyembuhkan’ buku-buku lama. Arus masa mungkin hampir tidak dirasai, melainkan melalui halaman yang menguning dan uban.

    Song mula terlibat dalam bahagian buku-buku purba setelah menamatkan pengajian perlindungan relik budaya di Universiti Peking pada tahun 2015. Dia telah terlibat dalam pemuliharaan lebih daripada 100 relik budaya purba, termasuk tulisan oleh Maharaja Qianlong dan Maharani Ci Xi dari Dinasti Qing (1644-1911).

    Proses memperbaiki buku-buku purba adalah kompleks dan memakan masa yang lama.

    Song dan pembaik pulih yang lain perlu memulakan kerja pada jam 8:30 pagi setiap hari untuk bersedia sebelum memulakan kerja pemuliharaan kira-kira sejam kemudian.

    “Pes perlu dicampur betul sebelum pembaikan, jika tidak, ia akan rosak jika dibiarkan terlalu lama,” jelasnya.

    “Selain itu, kepadatan pes berbeza untuk tugas yang berbeza, yang memerlukan persediaan di tapaknya.”

    Dia menambah bahawa pes untuk menempelkan kertas dan sutera berbeza. Selain itu, alat-alat pemuliharaan perlu diperiksa untuk memastikan ia dibersihkan sepenuhnya.

    “Jika ada saki baki pes pada berus, ia boleh menjadi keras dan ada risiko ia menembusi kertas,” kata Song.

    Setelah semuanya bersedia, kerja-kerja pemulihan boleh berjalan selama tujuh hingga lapan jam.

    Sebelum memulakan projek pemulihan, Song dan rakan-rakannya menilai subjek tersebut.

    Mereka perlu mempertimbangkan masalah yang boleh diselesaikan melalui pemulihan atau sebaliknya, dan menilai bagaimana proses pemulihan mungkin merosakkan subjek.

    “Sebagai contoh, terdapat banyak tompokan kulat atau kesan pada lukisan purba, dan beberapa di antaranya sangat dalam, jadi kami perlu menilai jika gentian kertas akan terjejas selepas dibuang,” kata Song. “Semuanya bergantung pada kes khusus.”

    Dalam senario terburuk, Song boleh menemui puluhan bahagian yang rosak hanya pada satu halaman buku purba.

    “Kami perlu membuat kepingan kertas yang serupa untuk membaiki bahagian yang rosak itu sambil mencuba membuatnya sebersih mungkin,” katanya. “Ini mencabar dan kadang-kadang saya akhirnya bermimpi tentang pembaikan.”

    Doktor harta karun buku

    Objektif utama pemulihan buku purba adalah untuk memanjangkan hayat dokumen itu. Semakin serupa antara bahan asal dan bahan pemulihan, semakin konsisten kadar penuaannya, semakin buku purba itu dapat diawetkan dengan lebih baik.

    Pada masa ini, Song dan rakan-rakannya sedang be-kerja untuk memulihkan salinan Yongle Dadian, ensiklopedia yang siap pada tahun 1408 setelah dipesan oleh Maharaja Yongle semasa Dinasti Ming (1368-1644).

    Dianggarkan bahawa Yongle Dadian, yang terdiri daripada 22,937 jilid dalam 11,095 buku, mengandungi kira-kira 370 juta aksara Cina. Ia dikatakan ensiklopedia berdasarkan kertas terbesar di dunia dalam sejarah purba.

    Masa telah banyak menjejaskannya dan hanya kira-kira 400 buku daripada salinan abad ke-16, atau sedikit lebih daripada 3.5 peratus daripada jumlah penerbitan, yang diketahui wujud, sementara keberadaan versi asal tidak diketahui.

    Selepas menerima cabaran pada awal tahun lalu, Song dan rakan-rakannya mengambil masa enam bulan membuat penilaian sebelum mereka memulakan kerja-kerja pemulihan.
    Mereka perlu mencari cara untuk mensimulasikan bahan mentah asal untuk penjilidan dan susunan melalui kajian teliti.

    “Kebanyakan buku dari Yongle Dadian yang masih wujud hari ini telah mengalami kerosakan pada penjilidan asalnya,” kata Song.

    “Untuk memulihkannya ke bentuk asal, kami perlu mengumpul maklumat dari pelbagai sumber, seperti gambar dan teks, sebelum kami dapat membuat kesimpulan mengenai gaya penjilidan asal mereka dan membaikinya berdasarkan keadaan asalnya,” jelasnya.

    Seiring dengan perkembangan teknologi, Song dan rakan-rakannya dapat menggunakan kaedah analisis serat baharu melalui mikroskop untuk mengenal pasti bahan mentah dengan lebih tepat dan cekap.

    Walaubagaimanapun, kaedah pengesanan secara manual yang tradisional masih berguna apabila serat tidak tersedia secara langsung. “Akhirnya, mendapatkan sampel serat mungkin akan merosakkan integriti barang kuno,” katanya. Setelah analisis selesai, pembaik pulih di perpustakaan dapat membuat kertas yang sangat mirip dengan asalnya.

    Walau bagaimanapun, teknologi hanya sebagai sumber sokongan dalam bidang ini dan membaik pulih buku purba masih memerlukan kemahiran manual yang penting, termasuk membuat adunan, memotong dan menyikat kertas, serta mengikat buku.

    Disebabkan khuatir bahan kimia dalam adunan yang dihasilkan secara komersial mungkin merosakkan buku, Song dan rakan-rakannya terpaksa membuat gam yang dihasilkan sendiri, bermula daripada mengekstrak kanji dari tepung. Ia memerlukan banyak latihan sebelum semua kemahiran tersebut dikuasai, kata Song.

    Dalam pemulihan buku purba, membatalkan kerja biasanya bukan pilihan, kerana apa-apa usaha semula boleh menyebabkan kerosakan yang lebih terhadap artifak budaya.

    “Oleh itu, setiap langkah harus difikirkan secara menyeluruh sebelum dilaksanakan,” tekan Song.

    Lazimnya, ia memakan masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun dari mempelajari dan mengikuti seorang guru sebelum seseorang dapat memimpin projek pemulihan secara bebas. Bertahun-tahun latihan telah mengajarnya untuk menghormati setiap benda dari halaman buku, kerana sebarang serpihan boleh memegang rekod maklumat sejarah yang penting.

    Dalam kes Yongle Dadian, dia akan mengumpul setiap potongan kertas semasa pemulihan untuk analisis lanjut di makmal.

    Suatu ketika, Song bahkan menangkap seekor anai-anai yang masih hidup di tengah-tengah halaman buku. Dia menunjukkan belas kasihan terhadap makhluk tersebut walaupun ia merupakan musuh buku-buku yang dia sayangi dengan memberikan makanan berupa kertas kepadanya.

    Warisan kebangsaan

    Teknik pengawetan buku kuno di perpustakaan negara telah disenaraikan sebagai warisan peringkat kebangsaan pada tahun 2008.

    Namun, Du Weisheng, seorang pembaik pulih buku purba kanan di perpustakaan, yang telah mengabdikan dirinya kepada kerjaya ini selama hampir 50 tahun, menunjukkan bahawa pemulihan buku purba melibatkan pengetahuan dari pelbagai disiplin ilmu di luar kepakaran tradisional.

    Selain mempunyai kemahiran terbaik, seorang pembaik pulih juga mesti mempunyai tahap pemahaman tertentu dalam bidang seperti fizik, kimia, pencetakan dan pembuatan kertas, kata Du.

    Song berharap dia satu hari kelak dapat memberi inspirasi kepada orang muda untuk menemui minat dan keghairahan sepanjang hayat dalam bidang pemuliharaan warisan budaya. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda