TAWAU, 2 Mei – Kerja pembaikan jalan raya yang rosak teruk di laluan Tanjong Batu hingga ke Kalabakan kini sedang giat dilaksanakan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu berkata ia perlu disiapkan segera bagi mengelak kejadian kemalangan berlaku dan meragut nyawa.
“Syarikat konsesi yang dilantik iaitu Globinaco turut berjanji akan melaksanakan kerja walaupun terdapat jalan dan cerun yang agak sukar dibaiki dengan cepat kerana laluan air berada di bawahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan meninjau kawasan tersebut bersama wakil Jabatan Kerja Raya dan syarikat yang dilantik dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hamisa turut menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan fitnah kerajaan tidak perihatin dengan keperluan dan masalah rakyat.