Saya ingin menyuarakan keresahan mengenai amalan pembakaran secara terbuka, khususnya di kawasan perumahan. Secara teknikal, ia tidak dibenarkan di Brunei, namun ramai yang masih melakukannya.
Seorang kenalan yang merupakan anggota bomba pernah memberitahu saya bahawa pihak mereka tidak boleh mengambil tindakan lanjut selain sekadar menasihati orang ramai supaya berhenti membakar.
Hal ini membuatkan segelintir individu terus mengambil mudah, sedangkan asap daripada pembakaran terbuka boleh mengundang risiko kesihatan, terutama jika membakar plastik dan bahan terlarang lain yang menghasilkan asap beracun.
Saya sendiri sering berdepan dengan masalah ini apabila jiran kerap membakar di halaman rumah mereka.
Walaupun segala pintu dan jendela ditutup rapi, namun bau asap masih dapat menembusi ke dalam rumah melalui penghawa dingin. Ia amat mengganggu, malah menjejaskan kesihatan keluarga saya.
Jika perkara ini berlarutan tanpa tindakan tegas, ia hanya akan terus menjadi kebiasaan yang merugikan dan membahayakan masyarakat dan alam sekitar.
Liau







