ALTAMIRA – Senapang raifal berada di atas bahunya, Tatji Arara kelihatan berputus asa ketika kakinya melangkahi batang pokok-pokok kayu besar yang telah ditebang oleh pembalak-pembalak haram di tengah hutan hujan Amazon, Brazil, kini menjadi medan beberapa konflik tanah.
“Setiap hari kami mendapati pokok-pokok baharu ditebang. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini,” keluh, 41 tahun, pemimpin penduduk asli Arara di negeri utara Para.
Menurutnya pembalakan haram di kawasan-kawasan tanah Arara – sebuah kawasan yang keluasannya sama dengan keluasan 264,000 buah padang bola sepak, semakin bertambah teruk sejak Presiden Jair Bolsonaro mengambil alih pucuk pimpinan pada bulan Januari lalu.
Bolsonaro, pejuang perniagaan tani yang berhaluan kanan pada kempen pilihan raya tahun lalu bahawa beliau tidak akan melepaskan ‘walau satu sentimeter pun’ tanah kepada masyarakat asli di Brazil, yang mempunyai kira-kira 60 peratus hutan hujan Amazon.
Menurut Imazon, kumpulan pemuliharaan yang bertapak di Para, pembasmian hutan di Amazon meningkat 54 peratus dalam bulan Januari, bulan pertama Bolsonaro menyandang jawatannya, berbanding dengan setahun sebelumnya.



Kira-kira 37 peratus kawasan yang musnah adalah di Para. Wilayah Arara yang didiami kira-kira 300 orang penduduk asli, telah diletakkan di bawah perlindungan kerajaan sejak 1991. Namun timbul kebimbangan keadaan itu boleh berubah di bawah Bolsonaro, peramal perubahan iklim.
“Bolsonaro meracuni semangat rakyat. Ramai orang beranggapan beliau akan mengambil tanah kami, tetapi kami tidak akan membiarkannya,” ujar Tatji Arara yang mengenakan seluar pendek dan baju pasukan Flamengo, salah sebuah kelab bola sepak paling popular di Brazil.
“Jika pengambilan haram kayu berterusan, wira-wira kami akan mengangkat panah. Mungkin akan ada kematian,” dia memberi amaran.
Dalam sepucuk surat untuk pejabat pendakwa persekutuan setempat pada bulan Februari lalu, Pihak Arara mengatakan pemimpin-pemimpin suku kaum merancang ‘mendapatkan keadilan bagi diri mereka sendiri’, yang termasuklah membangkitkan ritual nenek moyang membuat seruling tradisional ‘ dengan tengkorak penceroboh-penceroboh’.
Beratus-ratus perwakilan kumpulan orang asli akan berhimpun di bandar negara Brasilia selama tiga hari bagi misi melobi tahunan mereka untuk mempertahankan hak-hak tanah mereka.
Perampasan tidak beradab
Daripada segi teknikal tanah-tanah Arara adalah sebahagian kawasan perbandaran Altamira, yang terbesar di Brazil daripada segi luas permukaan – lebih besar dari Portugal – dan didiami oleh kira-kira 110,000 orang. Sebelum meningkatnya kegiatan pembalakan haram, masyarakat asli telah pun berdepan penderitaan atas nama pemodenan.
Pembinaan projek empangan besar hidroelektrik Belo Monte di Sungai Xingu yang dijangka siap tahun ini dan akan menjadi salah sebuah yang terbesar di dunia, telah mengakibatkan berbelas-belas orang berpindah tempat dan ekosistem terjejas.
Juga di Altamira rejim tentera Brazil mula membina Lebuh raya Rentas-Amazon pada tahun 1970an, dan ia akhirnya meninggalkan kesan lebih 4,000 kilometer di seluruh Amazon.
Sebuah plak memperingati pembukaan rasmi lebuh raya diletakkan bersebelahan contoh masalah pembasmian hutan pada masa ini; tunggul besar pokok kacang Brazil, salah satu yang terbesar di Amazon dan sumber utama pendapatan bagi masyarakat asli Arara.
Tatji Arara menunjukkan bangkai sebuah lori yang telah terbakar yang pernah digunakan untuk membawa balak yang dibakar pada bulan Februari lalu oleh ramai orang asli. Tidak jauh dari lebuh raya yang dicemari kotoran warna merah, pembalak-pembalak telah meredah memasuki hutan hujan dengan menggunakan jentera berat.
Memusnahkan segalanya yang ada di laluan mereka, perampas-perampas yang biadab itu tidak tergesa-gesa mengalihkan kayu balak, tetapi meninggalkannya untuk diambil pada hari lain.
“Apabila perbuatan mereka itu diketahui, mereka berkata tanah ini bukan milik sesiapa pun dan orang asli Indian adalah orang dungu, mereka malas kerana mereka tidak mahu menanam kacang soya,” ujar Tatji Arara.
Ketegangan menjadi-jadi
566 wilayah orang asli yang ditandakan oleh kerajaan Brazil merupakan lebih 13 peratus kawasan luas permukaan negara yang luas itu.
Sejak 1988, hak-hak tanah orang asli telah diiktiraf dalam perlembagaan Brazil yang menegah sebarang kegiatan seperti penjelajahan lombong atau pengambilan kayu balak yang mengancam cara-cara kehidupan lama.
Namun menteri lombong dan tenaga Bento Albuquerque pada awal Mac lalu membayangkan pada mesyuarat dengan syarikat-syarikat lombong utama di Kanada bahawa Brazil mungkin menamatkan pengetatan ini.
‘Darah dan Airmata’
“Altamira adalah sebuah bandar yang dibanjiri darah dan air mata,” kata Antonio Melo, 69 tahun yang mengetuai kumpulan aktivis Xingu Alive Forever. “Malangnya situasi yang amat dikesali ini disebabkan kesan empangan Belo Monte yang tidak boleh ditarik balik lagi, diburukkan lagi dengan pemilihan Bolsonaro,” ujar Melo yang menyimpan di pejabatnya gambar-gambar Stang dan aktivis-aktivis lain yang telah dibunuh.
“Dia dipilih dengan ucapan benci dan kini dia berkuasa, pembalak haram dan pemilik-pemilik tanah menjadi berani.”
Bulan lalu setiausaha kerajaan Carlos Alberto dos Santoz Cruz telah pergi ke Altamira untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin orang asli.
Dia berjanji akan mendapatkan sokongan bagi polis persekutuan dan pertubuhan persekitaran dalam menentang pembasmian hutan. Namun dos Santos Cruz menolak pendapat bahawa retorik anti persekitaran Bolsonaro telah mencetuskan serangan mendadak ke atas tanah orang asli.
“Itu adalah tafsiran yang tidak masuk akal – bahasa presiden sentiasa menghormati undang-undang. Tidak ada toleransi terhadap serangan ini ke atas mana-mana tanah, milik orang asli atau bukan,” ujarnya lagi.
Namun pemimpin Arara, Surara Parakana yang pada pipinya dilukis motif tradisional telah menghadiri mesyuarat di Altamira tetapi masih curiga dan mahu melihat lebih banyak langkah konkrit.
“Kerajaan mesti bertindak,” ujarnya lagi. “Hutan kami memberikan oksigen kepada seluruh dunia, bukan saja pada orang Indian.” – AFP